Petaling Jaya: Hampir 20,000 pesakit masih menunggu mendapatkan pelbagai organ daripada penderma di negara ini.

Ketua Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional Datin Dr Fadhilah Zowyah Lela Yasin Mansor berkata, daripada jumlah itu pesakit buah pinggang adalah penunggu organ paling tinggi iaitu 19,474 orang.

Ini diikuti lapan pesakit hati, masing-masing enam pesakit jantung serta pesakit jantung dan hati, manakala empat pesakit paru-paru.

“Pesakit buah pinggang mencatat jumlah tertinggi kerana mereka masih bertahan dengan menjalani rawatan dialisis secara berjadual.

“Peningkatan penyakit itu disebabkan faktor pemakanan, gaya hidup serta kesan pengambilan ubat-ubatan yang tidak disahkan Kementerian Kesihatan,” katanya selepas melancarkan laman media sosial Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat di negara ini tanpa mengira latar belakang agama supaya mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ di laman sesawang http://www.dermaorgan.gov.my/.

Dr Fadhilah Zowyah berkata, bilangan pengikrar penderma organ dalam kalangan masyarakat Melayu mencatat peningkatan selepas 6,211 orang atau 45.92 peratus daripada 13,524 orang mendaftar sebagai penderma organ bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 8:39 AM