KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang remuk teruk.
KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang remuk teruk.
Oleh Asmah Rusman

Subang Jaya: Seorang wanita warga emas maut selepas kenderaan yang dinaikinya dirempuh sebuah lori di Kilometer 24.1, Lebuhraya Kesas arah Klang sebelum susur ke Puchong, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, mangsa yang juga seorang suri rumah berusia 80 tahun duduk di bahagian belakang kereta dinaikinya dan disahkan maut di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurut jurucakap polis trafik, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu lori gagal berhenti dan merempuh kenderaan mangsa yang tiba-tiba mengundur.

“Kereta itu turut dinaiki dua individu lain yang dipercayai rakan mangsa. Pemandu tiba-tiba berhenti di laluan paling kiri sebelum mengundur dipercayai akibat terlepas simpang.

“Tindakan pemandu itu mengundang padah apabila kereta Toyota dinaiki mereka dirempuh sebuah lori yang berada di lorong berkenaan menyebabkan penumpang belakang maut manakala dua lagi cedera parah,” katanya.

Sementara itu, pasukan bomba dan penyelamat menerima panggilan kecemasan jam 11 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dan Bukit Jalil dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor, seorang pegawai dengan 12 anggota diarahkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mayat yang tersepit di dalam kereta.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 8:04 AM