Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Seorang penipu licik wanita hanya bermodalkan ‘air liur’ dan dokumen polisi insurans palsu untuk memperdaya lebih 400 mangsa membabitkan kerugian RM35 juta.

Suspek berusia 40-an dikatakan berselindung di sebalik penjualan ‘insurans emas’ menyamai skim cepat kaya untuk memperdaya semua mangsa terdiri daripada ahli perniagaan dan penjawat awam.

Dalang sindiket itu turut merekrut puluhan ejen untuk memujuk mangsa dengan menawarkan dividen keuntungan tetap setiap bulan kepada mangsa yang membeli insurans hayat itu.

Difahamkan, suspek menyamar sebagai wakil sah sebuah syarikat insurans terkenal bagi meyakinkan semua mangsa melalui pembelian insurans yang turut menawarkan keuntungan tetap.

Mangsa, Mohd Nasir Hassan, 36, berkata, sindiket itu mahir memujuk setiap mangsa membeli dan melabur di dalam polisi insurans istimewa itu.

Menurutnya, selain menggunakan kaedah penerangan hebat, suspek turut meyakinkan mangsa dengan menyediakan dokumen asli bagi membuatkan mangsa percaya dengan taktik penipuan diatur.

Dia mulanya tidak percaya dengan skim pembelian insurans itu, namun berubah fikiran selepas diberikan penerangan terperinci selain pelbagai kelebihan bakal dinikmati berbanding polisi insurans ditawarkan syarikat lain.

“Suspek mendakwa, skim insurans itu boleh dibeli pada harga serendah RM3,000 dan dividen akan dibayar setiap bulan kepada mangsa pada kadar empat peratus daripada jumlah pelaburan.

“Setiap mangsa yang membayar kurang RM100,000 dijanjikan pulangan dividen 4 peratus atau RM4,000 sebulan secara tetap,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang melabur lebih RM100,000 pula dijanjikan dividen sebanyak lima peratus.

Nasir berkata, sindiket itu turut berjanji akan memulangkan wang bayaran pokok kepada pelanggan selepas tempoh 30 bulan dari tarikh pembelian insurans hayat itu dilakukan.

“Skim ini didalangi seorang wanita berusia 40-an dan turut mempunyai beberapa ejen lain yang pandai memanipulasikan pelbagai fakta mengenai insurans hingga menyebabkan ramai terpedaya.

“Rata-rata mangsa yang terpedaya membabitkan penjawat awam dan peniaga yang sanggup mengeluarkan semua wang simpanan untuk melabur,” katanya dalam sidang media bersama sekumpulan mangsa lain di Kampung Baru di sini, kelmarin.

Nasir mendakwa, dia dan mangsa lain menyedari ditipu apabila ejen wanita itu tidak membuat bayaran dividen bulanan dijanjikan selain enggan memulangkan wang pokok pelaburan.

“Difahamkan 424 individu dikesan menjadi mangsa penipuan sindiket ini di seluruh negara membabitkan kerugian yang dianggarkan mencecah hampir RM35 juta. Ada antara mangsa sudah mula ditipu sejak 2009 selain ada juga yang menyerahkan wang kepada suspek, baru-baru ini,” katanya.

“Kami sudah ikhtiar bermacam-macam cara bagi mendapatkan semua duit kami. Bagaimanapun, pelbagai helah diberikan sebelum suspek menghilangkan diri,” katanya yang sudah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, di sini.

Berikutan kejadian itu, beberapa laporan polis sudah dibuat di seluruh negara termasuk tindakan sivil diambil mangsa terhadap suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:51 AM