SENTIASA berada dalam kebaikan apabila segera berbuka puasa. - Gambar hiasan
SENTIASA berada dalam kebaikan apabila segera berbuka puasa. - Gambar hiasan
Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah), nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagi mendapat keampunan daripada Allah melalui ibadat puasa, maka puasa perlu dilaksanakan mengikut tatacara yang betul. Harapan kita agar puasa yang ditunaikan ini diterima oleh Allah.

Justeru, hal berkaitan pelaksanaan puasa termasuk sahur dan iftar (berbuka puasa) tidak seharusnya dipandang remeh.

Bersahur adalah ibadat yang ada kepentingannya dalam pelaksanaan puasa. Kita dianjurkan bersahur pada waktunya.

Perkara ini perlu ditekankan kerana amalan bersahur inilah membezakan puasa umat Islam dengan yang diamalkan oleh golongan lain.

Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah SAW: “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah makan sahur.” (Riwayat Muslim)

Mungkin ramai dalam kalangan kita mengambil jalan mudah dengan makan pada lewat malam sebagai ‘sahur’ dan kemudian tidur, tidak bangun pada waktu sepatutnya. Perkara ini adalah tidak tepat dalam erti kata sebenar sahur.

Bersahur bukan sekadar makan, tetapi ia adalah satu ibadat yang sunat dilakukan pada waktunya. Padanya ada keberkatan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Bersahurlah kalian kerana pada sahur itu ada keberkatan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan keperluan untuk bangun sahur sangat penting meskipun hanya dengan beberapa teguk air.

Sabda Baginda SAW, mafhumnya: “Bersahurlah sekalipun dengan seteguk air.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Berkenaan dengan iftar pula, kita dikehendaki untuk menyegerakannya. Hal ini perlu diberi peringatan kerana ada antara kita yang bersikap sambil lewa. Sekiranya yakin masuknya waktu Maghrib, kita perlu segera berbuka.

Kelewatan berbuka berbanding orang lain tidak menyebabkan kita mendapat pahala tambahan daripada puasa dilakukan, malah dikhuatiri mengurangkan pahala puasa kerana kejahilan ilmu mengenainya.

Inilah antara keindahan Islam yang menjanjikan rahmat dan kebaikan terhadap umatnya yang melakukan ibadat dengan tepat.

Ibadat dalam Islam perlu mengikut garis panduan ditetapkan. Ia tidak boleh lebih atau kurang daripada apa yang ditetapkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari)

Selain itu, bersederhana ketika berbuka adalah satu amalan amat dituntut oleh Islam.

Antara cabaran utama golongan yang berpuasa adalah mengawal nafsu makan ketika tiba waktu berbuka. Jika dilihat daripada sunah Rasulullah SAW, sesungguhnya Baginda SAW amat bersederhana ketika berbuka.

Diriwayatkan Abu Dawud, Ahmad dan at-Tirmidzi bahawa: “Nabi SAW berbuka puasa dengan rutab (kurma basah) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka dengan tamar (kurma kering) dan jika tiada dengan meminum beberapa teguk air.”

Begitulah serba sedikit kaedah dalam pelaksanaan ibadat khususnya berkaitan puasa. Janganlah menjadikan puasa sebagai amalan ikut-ikutan, sebaliknya ia adalah satu ibadat yang perlu dilaksanakan dengan ilmu dan pemahaman tepat.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:24 AM