Kuala Lumpur: Tiga wanita mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran Persekutuan 2015, bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara di sini, semalam.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zainun Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Farida Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Rebecca Sta Maria, masing-masing menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Zainun, 63, berkhidmat selama 39 tahun dalam dunia kehakiman dengan menjawat pelbagai jawatan di peringkat persekutuan dan negeri.

Farida pula yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan) dari Universiti Sains Malaysia dan Rebecca yang memulakan kerjaya pada 1981 sebagai Penolong Setiausaha di MITI, masing-masing berpengalaman 33 tahun dalam perkhidmatan awam.

Sebanyak 31 daripada 1,773 penerima menerima Darjah-Darjah Kebesaran Persekutuan 2015 pada hari pertama istiadat penganugerahan itu bersempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Penganugerahan semalam membabitkan 13 penerima PSM, 16 penerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) dan dua penerima darjah kebesaran Panglima Setia Diraja (PSD).

Antara penerima lain PSM ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Dr Ong Hong Peng, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Panglima Tentera Udara Datuk Seri Roslan Saad.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:23 AM