DR Yeong  (kanan) bersama pelajarnya menunjukkan aplikasi  amaran denggi ‘We Alert’ di UTM, semalam.
DR Yeong (kanan) bersama pelajarnya menunjukkan aplikasi amaran denggi ‘We Alert’ di UTM, semalam.
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mencipta prototaip aplikasi mudah alih ‘We Alert’ bertujuan menyalurkan maklumat zon denggi berikutan penularan penyakit berkenaan yang semakin membimbangkan.

Aplikasi mudah alih itu cetusan idea gabungan pelajar tahun pertama dan kedua Fakulti Kejuruteraan Elektrik universiti berkenaan sebelum penghasilan prototaip dilakukan sejak April lalu.

Ketua kumpulan, Yong Bang Xiang, 21, berkata, aplikasi itu memudahkan orang ramai mengetahui status lokasi kediaman mereka sama ada tergolong dalam zon denggi atau tidak.

Katanya, ia bukan saja membantu masyarakat mengambil langkah pencegahan malah membolehkan agensi berkaitan bertindak.

“Maklumat yang dipamerkan diambil daripada Kementerian Kesihatan, hospital, agensi berkaitan mahu pun keluarga mangsa itu sendiri.

“Aplikasi ini akan memaparkan peta lokasi tempat tinggal yang dicari dan menunjukkan sama ada ia terdedah dengan wabak denggi menerusi isyarat warna,” katanya pada sidang media di UTM, di sini, semalam.

Hadir sama mentor projek, Dr Yeong Che Fai dan ahli kumpulan berkenaan, Jason Lim, Tan Ru Dei serta Chin Linn Ken.

Yong berkata, zon denggi ditandakan dengan warna merah, hijau bagi sederhana manakala kuning bagi kawasan yang kurang terdedah.

Dia berkata, prototaip aplikasi itu pernah dibentangkan pada pertandingan Microsoft Imagine Cup di Universiti Multimedia, Cyberjaya pada 16 hingga 18 April lalu dan dipilih ke peringkat separuh akhir.

“Kami menjangka aplikasi ini dapat digunakan orang ramai sebelum hujung tahun ini.

“Prototaip ini juga menerima sambutan baik termasuk daripada beberapa agensi kerajaan,” katanya.

Hadir sama mentor projek berkenaan merangkap pensyarah, Dr Yeong Che Fai selain ahli kumpulan berkenaan, Jason Lim, Tan Ru Dei dan Chin Linn Ken.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 7:55 AM