CEBISAN baju milik Mohd Asri pada lori yang terbabit nahas di Bedong.
CEBISAN baju milik Mohd Asri pada lori yang terbabit nahas di Bedong.

Sungai Petani: Hati seorang bapa bertukar sayu apabila tidak menduga kata-kata anak lelakinya mati boleh berlaku di mana-mana menjadi kenyataan apabila anaknya itu maut selepas motosikal ditungganginya merempuh treler di Bedong, di sini, kelmarin.

Kemalangan berlaku jam 5.25 petang di Jalan Sungai Petani-Gurun berhadapan stesen minyak di Bedong, di sini, mengakibatkan mangsa Mohd Asri Mohamad Hanapiah, 20, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Pemboncengnya dikenali sebagai Muiszuddin,18, hanya cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Difahamkan, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari Kolej Perwaja di Gurun untuk berlatih futsal di padang berhampiran Taman Jubli, Sungai Petani.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian sebuah treler datang dari arah Sungai Petani tiba-tiba membelok masuk ke sebuah bengkel di kanan jalan menyebabkan motosikal ditunggang mangsa gagal mengelak lalu merempuh bahagian tengah kenderaan berat itu.

Bapa mangsa, Mohamad Hanapiah Endit, 58, berkata, anaknya aktif dalam sukan futsal sejak di bangku sekolah dan ketika kejadian arwah bersama rakannya dalam perjalanan untuk berlatih bersama kelabnya di Sungai Petani bagi menghadapi perlawanan akhir Piala Ahli Parlimen Merbok, Ahad depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 10:15 AM