ANGGOTA JPAM menangkap ular sawa yang menelan kambing milik penduduk di Kampung Kenangan, Batu Anam, Segamat.
ANGGOTA JPAM menangkap ular sawa yang menelan kambing milik penduduk di Kampung Kenangan, Batu Anam, Segamat.

Segamat: Seorang wanita terkejut selepas menemui seekor ular sawa sepanjang enam meter di rumahnya di Kampung Kenangan, Batu Anam di sini, kelmarin.

Esah Daud, 45, mendakwa reptilia itu cuba menyerangnya walaupun baru saja menelan seekor kambing betina.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dia terdengar bunyi bising dari arah kandang kambing miliknya yang terletak di belakang rumah dan sebaik dia pergi melihat apa yang berlaku, dia terkejut mendapati seekor ular sawa sedang menelan ternakannya itu.

“Pada mulanya saya sangka bunyi bising dari kandang disebabkan kambing bergaduh, tetapi apabila pergi memeriksa, saya terkejut melihat ular sawa sedang menelan seekor kambing betina.

“Pada masa sama, saya lihat seekor lagi kambing jantan berusia dua tahun sudah mati mungkin selepas dibelit ular sawa itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Esah berkata, dia mengambil sebatang buluh untuk menghalau ular sawa itu, namun ia cuba menyerangnya dan bimbang dengan keselamatannya, dia menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Segamat.

Pegawai JPAM Segamat Mohd Nazlan Ruslan berkata, lima anggota yang ditugaskan kemudiannya berjaya menangkap ular sawa batik jantan seberat kira-kira 170 kilogram itu selepas bergelut kira-kira 30 minit.

“Haiwan itu agak agresif kerana ia menyangkakan kami mahu merebut makanannya, tetapi selepas setengah jam berusaha, akhirnya ia berjaya ditangkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 5:34 AM