GELAGAT suspek memecah masuk bilik guru yang  dirakam CCTV.
GELAGAT suspek memecah masuk bilik guru yang dirakam CCTV.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Seorang penagih dadah dikesan menggunakan lilin dan pemetik api untuk memecahkan mangga kunci sebelum menceroboh masuk bilik guru sebuah sekolah menengah di Segambut di sini.

Dalam kejadian jam 1 pagi kelmarin, tindakan suspek berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sekolah itu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, siasatan awal polis terhadap rakaman CCTV itu mendapati suspek berusia 20-an melakukan jenayah berkenaan secara berseorangan.

Menurutnya, suspek menggunakan lilin dan pemetik api untuk membakar mangga kunci pada pintu bilik guru yang mahu dipecah masuk.

“Suspek kemudian didapati mengetuk mangga kunci itu hingga pecah. Suspek kemudian berlegar-legar mencari barangan berharga sebelum menemui komputer riba dan wang tunai di dalam bilik itu.

“Hasil pemerhatian di CCTV, suspek didapati sempat melepaskan ketagihannya apabila turut menghisap dadah di bilik guru berkenaan,” katanya kepada wartawan Harian Metro, semalam.

Menurutnya, kejadian hanya disedari seorang guru ketika mahu membuka bilik guru berkenaan selain menemui kesan terbakar pada pintu bilik itu.

Difahamkan kerugian dianggarkan kira-kira RM4,000 dan kejadian terbabit adalah yang pertama berlaku di sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 7:02 AM