Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerima dua aduan penyalahgunaan nombor pendaftaran (ID) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh dua premis menjual makanan.

Penolong Kanan Pengarah Kastam Zaizah Zainuddin berkata, aduan itu diterima Ibu Pejabat Kastam Kuala Lumpur kelmarin, membabitkan masing-masing sebuah premis di Lembah Klang dan di pantai timur.

“Ini adalah aduan pertama kami terima berkaitan kesalahan penyalahgunaan ID GST dan siasatan terhadap premis terbabit sedang dijalankan oleh unit penguatkuasaan kastam.

“Ada pengguna yang prihatin membuat aduan kepada kastam apabila beliau mendapati ID GST yang tertera di resit diterimanya tidak sepadan dengan nama syarikat terbabit sebaliknya milik syarikat lain,” katanya dalam program Ruang Bicara Bernama TV di sini, malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:18 AM