PELBAGAI barangan butik pengantin milik penyewa kedai dipercayai dijual pemilik premis dirampas anggota penguat kuasa.
PELBAGAI barangan butik pengantin milik penyewa kedai dipercayai dijual pemilik premis dirampas anggota penguat kuasa.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: Seorang pengusaha butik barangan pengantin terkejut apabila mendapati pelbagai barangan pengantinnya bernilai RM35,000 lesap dipercayai dijual pemilik premis butik disewanya.

Dalam kejadian jam 2.30 petang Sabtu lalu, pengusaha butik berkenaan yang berusia 28 tahun melihat sendiri barangan daripada butiknya dibawa keluar beberapa individu yang tidak diketahui untuk tujuan apa dan sehubungan itu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian.

Susulan daripada laporan yang dibuat mangsa, polis bertindak menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang juga pemilik premis dan seorang lagi lelaki berusia 46 tahun yang membeli barangan pengantin terbabit.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, penyewa atau pengusaha butik pengantin berkenaan dikatakan secara tidak sengaja bertembung dengan sekumpulan pekerja sedang memunggah barangan miliknya ke sebuah premis di pekan ini.

“Pihak kami menjalankan siasatan berhubung laporan yang diterima itu dan menahan dua lelaki dipercayai pemilik premis dan pembeli barangan milik mangsa.

“Soal siasat yang dijalankan mendapati pemilik premis yang berusia 33 tahun itu mengaku menjual barangan milik mangsa kepada seorang lelaki berusia 46 tahun dengan sejumlah harga,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, pada masa sama pihak polis berjaya mengenalpasti lokasi barangan milik mangsa ditempatkan dan serbuan di sebuah premis dua tingkat di sini menemui semula kesemua barangan mangsa yang dilaporkan hilang.

“Semua barangan termasuk pakaian serta peralatan butik pengantin ditemui semula di premis berkenaan dan kedua-dua lelaki itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 14 tahun,” katanya.

Sementara itu, Omar Bakhtiar turut menasihati orang ramai tidak mudah terpengaruh membeli sesuatu barangan pada harga murah tanpa diketahui dari mana barangan berkenaan diperoleh.

“Dalam kes sebegini pembeli boleh disabit dengan dua kesalahan iaitu sama ada dituduh bersubahat atau dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barangan curi.

“Justeru itu, saya berharap orang awam tidak mudah terpengaruh dengan perkara sedemikian dan sebaliknya melaporkan kepada pihak polis sekiranya merasa ragu-ragu dengan barangan yang dijual itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:23 AM