Kuala Lumpur: Masalah bekalan elektrik dan kejadian kebakaran menjadi penyebab projek pembinaan Kompleks Pakar dan Pusat Jagaan Ambulatori (SCACC) Hospital Kuala Lumpur (HKL) lewat disiapkan.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2014 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, kelewatan berlaku selepas kontraktor yang dilantik memohon masa lanjutan berikutan masalah ketika pembinaan sedang giat berlangsung.

“Maklum balas daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati kelewatan memperoleh bekalan elektrik disebabkan kelewatan permit pengorekan jalan diperoleh,” katanya.

Laporan itu berkata, bangunan pencawang sudah diserah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 16 Mei 2011 dan caj sambungannya dijelaskan oleh JKR pada 29 Julai tahun yang sama.

“Selain itu, permohonan permit pemotongan jalan juga sudah dikemukakan oleh TNB kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) pada 17 Oktober 2011 namun kejadian kebakaran pada 14 Mei 2012 menyebabkan kontraktor tidak berjaya menyiapkan keseluruhan kerja seperti termaktub dalam tempoh kontrak,” katanya.

Menurut laporan itu, kejadian kebakaran disifatkan tidak disengajakan dan kontraktor serta kerajaan tidak boleh dipersalahkan.

Projek itu berjaya disiapkan pada mengikut jadual selepas dua lanjutan daripada pihak kontraktor diluluskan.

“Projek ini akhirnya siap pada 31 Oktober 2012 dan bangunan SCACC mula diduduki pada keesokan harinya,” katanya.

Audit turut mengesyorkan JKR dan SCACC memastikan kerja pembinaan dilakukan dengan sempurna serta mematuhi peraturan ditetapkan.

Sementara itu, LKAN turut mendapati tempoh pemeriksaan dan rawatan pesakit Klinik Bergerak 1Malaysia (KB1M) menggunakan bas dan bot di kawasan terpinggir masih kurang memuaskan.

KB1M adalah perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di luar lingkungan 25 kilometer dari pusat perubatan dan kesihatan terdekat.

“Namun begitu, jeti kayu yang menghubungkan pesakit dengan KB1M Bot Sungai Kinabatangan Kampung Abai, Sabah adalah tidak selamat khususnya wanita mengandung, anak kecil, kanak-kanak serta orang tua.

“Audit mengesyorkan agar kementerian memberi perhatian lebih kepada kesesuaian tempat dan kenderaan bagi memastikan perkhidmatan klinik bergerak (PKB) berjalan lancar, teratur dan kondusif.

“Aspek keselamatan perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan risiko kemalangan di lokasi PKB dan mereka yang menggunakan pengangkutan air itu.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:58 AM