Johor Bahru: Seorang pemandu lori terbunuh dalam keadaan ngeri apabila badannya terputus dua dalam kemalangan di Kilometer 19, Jalan Pontian menghala Johor Bahru di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.25 pagi itu, mangsa M Santis, 24, maut apabila kereta Honda Civic dipandunya terbabas menyebabkannya tercampak keluar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Beh Eng Lai berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa gagal mengawal kenderaan ketika melalui selekoh di tempat kejadian.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan terjatuh ke laluan bertentangan tetapi tidak membabitkan kenderaan lain,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya di sini, untuk dibedah siasat.

“Laporan bedah siasat menunjukkan kematian mangsa akibat pendarahan yang banyak selepas badannya terputus dua,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 7:37 AM