Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Semua syarikat telekomunikasi tetap akan mengenakan caj Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi kupon tambah nilai kad prabayar telefon bimbit mereka.

Namun, pada masa sama syarikat ini menawarkan tambahan kredit masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS) melebihi RM1.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam berkata, sebagai contoh, tawaran tambahan masa kredit berbual dan SMS melebihi RM1 itu adalah bagi pembelian kupon tambah nilai kad prabayar bernilai RM10.60.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai menerusi perbincangan dilakukan di antara ketua eksekutif syarikat telekomunikasi; JKDM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri; Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pagi semalam.

“Persetujuan itu berkuat kuasa hari ini dan ia akan berterusan selama tempoh tiga bulan akan datang sebelum perbincangan lanjut dilakukan sama ada ia akan diteruskan atau dikaji semula.

“Kami ingin menjelaskan bahawa kupon tambah nilai prabayar dikenakan GST namun, orang ramai akan ditawarkan tambahan kredit masa berbual dan SMS melebihi sehingga RM1,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad.

Subromaniam berkata, ia berita baik buat pengguna tambah nilai kad prabayar kerana mereka akan mendapat tambahan kredit masa berbual dan SMS sebaik sahaja isian nilai prabayar dilakukan.

Beliau berkata, keputusan itu juga dibuat bagi meredakan keadaan berikutan kekeliruan disuarakan pengguna pada hari pertama pelaksanaan GST kelmarin.

Pelaksanaan hari pertama GST banyak berkisar mengenai aduan dikemukakan pengguna apabila sebahagian syarikat telekomunikasi membuat keputusan untuk mengenakan GST bagi kupon tambah nilai biarpun sebelum ini sudah ada arahan untuk tidak mengenakan cukai itu tiga bulan lalu.

Sementara itu, Alias berkata, pihaknya melihat orang awam semakin faham mengenai GST berikutan pengurangan aduan masing-masing menerusi dua saluran utama iaitu panggilan telefon dan e-aduan.

Beliau berkata, berbanding kelmarin, sebanyak 1,829 aduan menerusi panggilan telefon yang diterima semalam iaitu pengurangan sebanyak 35 peratus berbanding pada hari pertama pelaksanaan GST.

“Kami juga menerima sebanyal 1,035 aduan menerusi medium e-aduan hari ini (semalam) iaitu penurunan sebanyak 34 peratus.

“Berdasarkan kedua-dua medium aduan itu, kami percaya pengguna sudah mula memahami sistem cukai berkenaan namun, pada masa sama sudah sedia maklum mengenai ruang untuk membuat aduan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 10:18 AM