Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas pembayaran balik pinjaman PTPTN.

Pengerusi (PTPTN), Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebarang bayaran balik pinjaman yang dilakukan melalui kaunter atau kios di mana-mana cawangan milik PTPTN tidak akan dikenakan GST.

“Kami menggalakkan peminjam supaya hadir ke pejabat perbadanan untuk membincangkan kaedah pembayaran termasuk menerusi skim ansuran.

“Bagaimanapun, bayaran balik melalui perbankan internet atau di luar daripada cawangan (PTPTN) hanya akan tertakluk kepada institusi perbankan tersebut,” katanya selepas Majlis Pelancaran Cabutan Hadiah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) 2015, di sini, semalam.

Menurutnya, langkah kerajaan memberikan insentif diskaun 20 peratus bagi bayaran balik keseluruhan pinjaman PTPTN berjaya menggalakkan peminjam yang sudah disenarai hitam membuat bayaran balik.

“Seramai 1,392 peminjam tegar sudah membuat bayaran balik yang membabitkan pinjaman sebanyak RM18.03 juta.

“Sepanjang tempoh pemberian insentif tersebut, sejumlah RM80.95 juta diskaun diberikan kepada peminjam manakala bayaran balik yang diterima adalah sebanyak RM323.80 juta,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan II P Kamalanathan dan Ketua Eksekutif PTPTN Agos Cholan.

Shamsul Anuar berkata, seramai 33,059 peminjam sudah mengambil peluang mendapatkan insentif diskaun tersebut yang membabitkan jumlah pinjaman sebanyak RM404.75 juta.

“Pengecualian cukai itu memberi lebih peluang kepada peminjam PTPTN untuk terus melangsaikan hutang pinjaman mereka yang tertunggak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 10:16 AM