Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Daun ketum adalah tumbuhan yang paling popular dalam kalangan Ahli Parlimen pada Sidang Dewan Rakyat di sini, semalam.

Ia berikutan perihal tumbuhan yang terkenal di utara Semenanjung itu dibincangkan dengan panjang lebar sejak pagi hingga lewat petang oleh wakil rakyat membabitkan blok penyokong kerajaan dan pembangkang yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan cadangan penyenaraian ketum sebagai dadah berbahaya.

Mereka berpendapat, ketum kini semakin diakui mempunyai nilai komersial dalam bidang perubatan di seluruh dunia.

Pada masa ini penyalahgunaan daun ketum adalah di bawah Akta Racun 1952.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya sebelum itu membentangkan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) (No 2) 2014 bagi menyenaraikan ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) ketika membahaskan perkara itu menjelaskan, walaupun daun ketum diharamkan di Thailand sejak tahun 1943 namun sekarang usaha untuk menarik balik pengharaman itu sedang dilaksanakan.

Ini kerana katanya, tumbuhan itu ada faedahnya kepada masyarakat.

“Saya tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana penggunaan daun ketum sejak dulu secara tradisional tidak memudaratkan tetapi saya tidak nafikan penyalahgunaannya, namun hukuman tidak wajar sama dengan dadah,” katanya.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) bagaimanapun dalam celahannya berkata, isunya ialah penyalahgunaan ketum oleh golongan muda yang membimbangkan sebagai ganti dadah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:23 AM