AHMAD memberi penerangan pada sesi dialog mengenai GST di Kuala Lumpur, semalam.
AHMAD memberi penerangan pada sesi dialog mengenai GST di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: “Perhimpunan itu didalangi pembangkang dan saya ingin maklumkan kami teruskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, GST adalah satu sistem cukai lebih baik bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sejak 1972.

“Ramai yang tidak tahu kewujudan SST, lantas mereka membuat rumusan GST adalah cukai baru, walhal ia bagi menggantikan cukai lama yang membebankan.

“Kami ingin mengurangkan cukai rakyat dengan pelaksanaan GST yang bakal mengurangkan cukai pendapatan satu hingga tiga peratus,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penerangan GST, Bajet dan Isu Semasa di Auditorium UMNO, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO membidas satu perhimpunan membantah GST di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, kelmarin, yang didakwa diketuai pembangkang.

Perhimpunan yang bermula jam 11 pagi itu disertai 100 individu membabitkan pemimpin pembangkang antaranya Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jayakumar Devaraj dan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shaharin.

Bagaimanapun, tindakan peserta mencetuskan provokasi menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis mengawal ketat pintu pagar utama pejabat JKDM itu.

Difahamkan, peserta perhimpunan itu mahu menyerahkan 106 soalan berhubung GST kepada JKDM.

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, pihaknya tiada masalah menjawab sebarang isu berkaitan sistem cukai itu, namun ia perlu mengikut prosedur.

“Ada pelbagai pihak, persatuan itu dan ini yang berjumpa bertanya mengenai GST, minta pelepasan itu dan ini, kami terima dan memberi jawapan,” katanya.

“Tetapi tindakan itu bukan cara terbaik menyelesaikan segala perkara yang mereka tidak faham,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 9:28 AM