Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Portal Harakahdaily, Taufek Yahya berhubung penyiaran artikel yang mengaitkannya dengan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Februari lalu.

Najib selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Rabu lalu.

Dalam saman itu, Najib mendakwa artikel yang disiarkan pada 19 Februari 2015 di Portal Harakahdaily mengandungi perkataan-perkataan fitnah yang ditulis defendan pertama dan diterbitkan oleh defendan kedua.

Dakwanya, artikel itu menyebabkan reputasinya terjejas dan dikecam terutamanya di media sosial dan media massa dengan pelbagai tuduhan yang menghina dan mengaibkan.

Plaintif juga mendakwa defendan kedua gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk mengesahkan dan menyiasat perkataan-perkataan fitnah berkenaan.

Najib melalui peguamnya telah menghantar notis tuntutan bertarikh 26 Februari lalu kepada defendan bagi menuntut mereka berhenti membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya selain menuntut defendan membuat satu permohonan maaf tidak bersyarat dalam bentuk bertulis dan penarikan balik kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, dakwanya, pihak defendan masih enggan memberi sebarang jawapan bertulis berhubung notis tuntutan itu dan ia menunjukkan defendan tidak berasa kesal atas penerbitan artikel itu.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am dan khas, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan keterlaluan serta faedah dengan kadar lima peratus setahun.

Plaintif turut menuntut injunksi bagi menahan defendan atau ejennya berbicara lanjut atau mengulangi artikel fitnah itu, serta perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis dan disiarkan di akhbar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 9:51 AM