Kuala Lumpur: Sejumlah 1,497 anggota tentera bersama pasangan mereka yang berdaftar sebagai pengundi awal bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka akan menunaikan tanggungjawab memilih calon pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, Rabu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata mereka akan mengundi di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Kem Pengkalan Chepa, Kota Baharu, mulai 8 pagi hingga pukul 5 petang.

“Pada pengundian awal seperti sebelumnya dakwat pilihan raya akan digunakan bagi proses pengundian.

“Proses pengundian awal akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan oleh petugas SPR di pusat mengundi yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Daftar pemilih yang digunakan untuk PRK kali ini adalah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 dan digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2014, yang telah dikemas kini sehingga 12 Februari 2015.

Daftar pemilih tersebut mengandungi 21,890 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,390 orang pengundi biasa; 1,497 orang pengundi awal dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

Abdul Ghani berkata proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan.

“Pemerhati tempatan yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik yang dilantik oleh SPR juga dibenar menjadi pemerhati pada proses pengundian awal itu dengan kebenaran daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:25 AM