Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan notis tuntutan terhadap Harakah Daily kerana didakwa mengeluarkan artikel memfitnahnya melalui artikel bertajuk ‘Dana 1MDB Biayai Syarikat Filem Riza Aziz? (Bhg 2)’ dalam laman web itu pada 19 Februari lalu.

Notis tuntutan itu diserahkan melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak kepada Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakop dan Ketua Pengarang Harakah Daily Taufek Yahya di pejabat Harakah, di sini, semalam.

Melalui notis tuntutan itu, laman portal terbabit diberi tempoh 48 jam untuk berhenti daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah atau kenyataan serupa kepada Najib serta membuat akujanji secara bertulis.

Selain itu, Harakah Daily juga dituntut membuat permohonan maaf bertulis tidak bersyarat dan menarik balik kenyataan berunsur fitnah melalui terma yang dipersetujui.

Portal itu juga diminta membayar ganti rugi kerosakan reputasi teruk dan ganti rugi bagi kos ditanggung Najib dalam perkara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 8:06 AM