AHMAD (kiri) memberi penerangan GST.
AHMAD (kiri) memberi penerangan GST.
Oleh Khalid Latip

Sarikei: Kerajaan membenarkan mangsa banjir membuat permohonan bantuan wang ihsan sebanyak dua kali jika terdapat lebih daripada satu keluarga menetap dalam rumah sama yang terjejas akibat bencana itu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, mangsa terbabit hanya perlu mengemukakan bukti atau dokumen berkaitan bagi melayakkan mereka didaftarkan untuk menerima bantuan berkenaan.

Beliau berkata, dalam kes tertentu terutama jika ada lebih daripada satu keluarga mangsa banjir tinggal sebumbung, mereka sekali lagi boleh memohon bantuan itu bagi membantu meringankan beban terpaksa ditanggung susulan bencana yang berlaku.

“Kita boleh pertimbangkan (permohonan) sejajar dengan saiz keluarga mangsa yang menetap dalam satu rumah.

“Bagaimanapun, permohonan itu perlu dikemukakan bukti bagi menentukan kelayakan pemohon sekali gus mengelak ada pihak mengambil kesempatan,” katanya sesi penerangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Bajet 2015 di Dewan Suarah Sarikei, semalam.

Menurutnya, pangkalan data mangsa banjir yang mendaftar untuk mendapatkan bantuan sentiasa dikemaskinikan selain turut diperincikan bagi mengelak ketirisan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pelaksanaan GST berkuat kuasa April ini tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh komuniti peniaga bagi menaikkan harga barangan hingga membebankan pengguna.

“Kita tidak mahu ada peniaga menggunakan alasan cukai baru ini untuk menaikkan harga barangan masing-masing.

“Jika berlaku, orang ramai boleh menggunakan kuasa pengguna yang ada pada mereka untuk mendedahkan peniaga tidak bertanggungjawab itu supaya boleh dikenakan tindakan setimpal.

“Malah, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap peniaga yang cuba mengambil kesempatan melaksanakan lebih awal cukai baru itu dari tarikh sepatutnya ia dikuatkuasakan,” katanya.

Ditanya tindakan sebuah syarikat telekomunikasi yang didakwa mengenakan GST lebih awal dari tempoh sepatutnya, beliau menjelaskan perkara itu mungkin disebabkan salah faham terhadap penggunaan akronim pada perkataan Cukai Jualan Kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 7:56 AM