MOHAMED Jawhar (empat dari kiri) menerima cek bernilai RM50,000 daripada Kamil Noor (tiga dari kanan).
MOHAMED Jawhar (empat dari kiri) menerima cek bernilai RM50,000 daripada Kamil Noor (tiga dari kanan).

Georgetown: Yayasan Penang Free School (PFS) menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Tabung Bencana The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP)-Media Prima dalam majlis diadakan di PFS, Jalan Masjid Negeri, semalam.

Sumbangan itu disampaikan Presiden Yayasan PFS Datuk Kamil Noor Ariff kepada Pengerusi The News Straits Times Press (M) Berhad Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan.

Kamil Noor berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat memberikan faedah kepada mangsa banjir di negeri di Pantai Timur yang terjejas teruk akibat bencana itu.

“Kami di Yayasan PFS tidak mahu ketinggalan dan mahu untuk bersama-sama menyumbang bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung mangsa berkenaan.

“Kehidupan pasca banjir adalah lebih mencabar kerana sebahagian besar daripada mangsa tinggal sehelai sepinggang dan hidup tanpa kemudahan asas seperti pakaian selain kehilangan tempat tinggal,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, bekas-bekas Presiden Bekas Pelajar PFS (OFA) Kuala Lumpur/Selangor, Datuk Zain Yusof, Tan Sri Sheriff Kassim dan Datuk Anwarrudin Osman serta pengetua PFS, Jalil Saad.

Sementara itu, Mohamed Jawhar berkata, sejak dilancarkan Tabung Bencana NSTP-Media Prima berjaya mengumpul RM7.43 juta hasil sumbangan masyarakat seluruh negara.

Sebahagian daripada sumbangan yang dikumpul sebelum ini sudah disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri di Pantai Timur terutama di lokasi yang terjejas teruk akibat bencana itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:20 AM