ANTARA produk berasaskan madu lebah kelulut yang dihasilkan.
ANTARA produk berasaskan madu lebah kelulut yang dihasilkan.
Oleh Iskandar Shah Mohamed

Melaka: Istana, rumah tradisional dan kapal laut kelulut. Itu antara inovasi kreatif diterapkan usahawan, Othman Bachik, 57, yang menjadikannya sebagai cara untuk menarik perhatian pelancong tempatan dan luar negara, sekali gus memperkembangkan lagi industri lebah kelulut di negara ini.

Binaan dengan ukiran halus itu berfungsi menempatkan sarang lebah berkenaan menggantikan rumah atau pondok koloni biasa untuk pengusaha dan peminat yang mahu ia kelihatan lebih cantik serta bercirikan tradisional.

Uniknya, selain kayu, beberapa barangan terpakai terutama tikar buluh digunakan untuk membina ‘kediaman’ itu yang mampu menempatkan sehingga enam jenis kelulut di dalamnya.

Menurut Othman, walaupun lebih komited untuk menghasilkan produk madu, dia berasakan bahawa industri kelulut yang masih dianggap baru berupaya untuk dikomersialkan secara lebih meluas antaranya menerusi pembinaan ‘sarang’ unik seumpama itu.

“Sebagai contoh, tahun lalu, saya menyertai Pameran Antarabangsa Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2014) di Serdang, Selangor dengan turut membawa Istana Kelulut yang diilhamkan menerusi Istana Melaka sehingga menjadi tarikan utama pengunjung yang hadir.

“Ia membuktikan bahawa selain produk madu kelulut, inovasi seumpama itu mampu diperkembangkan lagi walaupun proses pembinaannya agak rumit sehingga memakan masa selama dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Selain istana dan rumah tradisional, dia sedang membina kapal laut untuk tujuan sama yang semuanya dijual dengan harga berpatutan.

“Bagi pengusaha atau penggemar yang mahu memilikinya, saya bagaimanapun mengesyorkan supaya mewujudkan kawasan pemakanan kelulut terlebih dulu seperti bunga-bungaan dan herba bagi membolehkan lebah berkenaan menghasilkan madu berkualiti.

“Fungsinya masih sama seperti rumah atau pondok biasa yang mana pintu masuk utama lebah menuju ke sarangnya turut dibina di bahagian depan,” katanya.

Kata Othman, harapannya terhadap industri kelulut amat tinggi dan turut akan membuka Galeri Lebah Kelulut di Sungai Udang di sini, untuk memberi pendedahan lebih jelas dan terperinci kepada orang awam mengenai lebah berkenaan merangkumi spesies, produk serta proses yang dijalankan.

“Selain melakukan jualan dan pemasaran, saya mahu masyarakat mengetahui semua perkara mengenai kelulut ini. Insya-Allah, semuanya akan direalisasikan dan saya sedang menunggu surat kebenaran rasmi daripada pihak berkaitan,” katanya.

Menurutnya, biarpun industri itu masih baru, dia berhasrat supaya Melaka turut menjadi negeri madu selain sinonim dengan belacan, cencaluk dan asam pedas.

“Jika dilakukan secara serius, industri kelulut ini mampu memberi pendapatan lumayan namun semua proses berkaitan perlu dibuat dengan betul dan teratur,” katanya yang turut mendapat bantuan daripada dua anak lelakinya untuk mengusahakan ternakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:53 AM