Kuantan: Tindakan seorang penunggang motosikal cuba melarikan diri selepas terserempak dengan anggota polis membongkar identiti sebenarnya yang disyaki terbabit dalam kejadian pecah rumah di sekitar daerah ini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu berlaku ketika Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan diketuai Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin melakukan pemantauan dan pemeriksaan cegah jenayah di Jalan Lim Ho Lek, di sini.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, ketika melakukan rondaan anggota polis terserempak seorang lelaki menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam keadaan mencurigakan.

“Polis meminta lelaki berusia 40 tahun itu berhenti untuk melakukan pemeriksaan namun dia bertindak sebaliknya apabila terus memecut motosikal menyebabkan anggota polis terpaksa mengejarnya.

“Namun, selepas kira-kira 20 kilometer mengejarnya, lelaki berasal dari Kemaman, Terengganu, itu secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan menyebabkan polis menahannya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap suspek terbabit menemui beg komputer riba mengandungi pelbagai peralatan seperti pemutar skru, besi pengumpil, gunting dan sarung tangan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

“Pemeriksaan susulan turut mengenal pasti suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau iaitu memiliki dadah, samun dan curi dalam bangunan selain turut positif dadah jenis Methamphetamine.

“Suspek dibawa ke IPD Kuantan untuk tindakan lanjut. Selain itu, polis juga melakukan siasatan bagi mengenal pasti motosikal digunakan suspek sama ada ia kenderaan curi yang dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:28 AM