PASANGAN pelancong dari Mesir Tarek Ibrahim (gambar kecil atas) dan Marwa Ibrahim (gambar kecil bawah) terbaring ditengah jalan selepas terbabit kemalangan di persimpangan Kilim-Ayer Hangat.
PASANGAN pelancong dari Mesir Tarek Ibrahim (gambar kecil atas) dan Marwa Ibrahim (gambar kecil bawah) terbaring ditengah jalan selepas terbabit kemalangan di persimpangan Kilim-Ayer Hangat.
Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Kegembiraan pasangan doktor dan ahli farmasi dari Mesir, untuk menikmati keindahan pulau ini berakhir tragedi apabila kedua-duanya terbunuh selepas terbabit dalam nahas jalan raya di persimpangan Jalan Kilim-Ayer Hangat di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.25 petang itu, penunggang skuter, Tarek Ibrahim Ahmed Hamza, 45, seorang doktor berasal dari Garbia, Mesir, disahkan mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Pasangannya yang juga pembonceng, Marwa Ibrahim Ahmad Elbendary, 39, seorang ahli farmasi yang patah tulang rusuk dan paha dilaporkan mati ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Langkawi (HL).

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Hamid, 20-an berkata, ketika kejadian, dia berada dalam kedai berhampiran sebelum mendengar dentuman dari arah jalan raya.

“Tak pasti macam mana berlaku, tapi sebaik keluar dari kedai, saya lihat dua penunggang skuter sudah terperosok bawah enjin sebuah kereta Nissan yang menghala ke Kuah.

“Saya panik dan tidak tahu apa nak buat selepas melihat banyak darah keluar dari kepala dan badan kedua-dua mangsa. Saya kemudian meminta rakan menghubungi ambulans,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Harrith Kam Abdullah berkata, kejadian berlaku apabila penunggang dan pembonceng skuter itu dirempuh kereta di persimpangan Jalan Kilim-Ayer Hangat.

“Kemalangan berpunca daripada skuter yang ditunggang mangsa seorang lelaki warga Mesir yang dalam perjalanan dari Kuah ke Ayer Hangat memasuki laluan bertentangan dan cuba brek mengejut.

“Berikutan itu, skuter berkenaan hilang kawalan menyebabkan penunggang dan pembonceng terjatuh di atas jalan raya sebelum kedua-duanya dirempuh sebuah kereta yang datang dari Ayer Hangat ke Kuah.

“Penunggang skuter mati di tempat kejadian, manakala pemboncengnya, wanita warga Mesir mati ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan HL,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam

Harrith Kam berkata, bedah siasat mendapati Tarek Ibrahim mati akibat parah di kepala, manakala Marwa Ibrahim pula berpunca daripada cedera parah di dada akibat patah tulang rusuk selain patah kedua-dua paha.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 10:30 AM