MUHYIDDIN menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Perdana RT  2014 di Bangunan DUN Sabah,  semalam
MUHYIDDIN menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Perdana RT 2014 di Bangunan DUN Sabah, semalam
Oleh Mohd Razlan Salleh dan Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Program Rukun Tetangga (RT) dalam melaksanakan pelbagai aktiviti masyarakat perlu diperluaskan termasuk berkaitan ekonomi setempat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu mampu melahirkan usahawan kecil selain menyediakan tenaga kerja berkualiti kepada masyarakat.

“Melalui kaedah ini juga, sekali gus membantu menjana ekonomi penduduk setempat dan memantapkan fungsi serta peranan RT pada alaf baru.

“Selain itu, skim rondaan RT juga berupaya menangani masalah jenayah dan sosial serta mewujudkan hubungan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Anugerah Perdana RT 2014 di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Tan Sri Joseph Kurup, Speaker DUN Sabah Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sukarti Wakiman.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, anugerah diadakan dua tahun sekali itu mengiktiraf sumbangan dan peranan ahli RT dalam membentuk perpaduan serta integriti nasional.

“Sebanyak 63 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada 112 pencalonan menerima sembilan anugerah termasuk Anugerah Emas Rukun Tetangga yang baru diperkenalkan tahun ini, khusus untuk anggota RT yang berusia 40 tahun ke atas,” katanya.

Sementara itu, Pemenang Anugerah Emas RT Ng Kim Fah, 64, dari KRT Sungai Ruan, Raub, Pahang, tidak menyangka terpilih menjadi antara penerima pertama anugerah itu.

“Ini adalah anugerah tertinggi yang saya terima sepanjang lebih 30 tahun menyertai KRT, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk anggota lain bersama-sama bergiat aktif di kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Perpaduan Kampung Tengah Lembah Gombak, Selangor memenangi kategori Pengurusan TABIKA Perpaduan Terbaik; Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Permata Perpaduan Kuantan, Pahang (Pengurusan Taska Permata Perpaduan Terbaik); KRT Bukit Kuda, Labuan (Projek Ekonomi RT Terbaik); KRT Kampung Baru Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu (Inovasi RT Terbaik); KRT Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu (Pengurusan RT Terbaik); Perkampungan Sungai Isap Jaya, Kuantan (Pengurusan Jiran Muda Terbaik); KRT Indera Mahkota Jaya, Kuantan (Pengurusan Skim Rondaan Sukarela Terbaik) dan Anugerah Pengurusan Jiran Wanita Terbaik dimenangi KRT Dangi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Semua pemenang menerima trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM6,000 bagi setiap kategori.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 8:47 AM