ANGGOTA polis dan bomba mengangkat mayat Nurul Atikah yang ditemui pagi semalam.
ANGGOTA polis dan bomba mengangkat mayat Nurul Atikah yang ditemui pagi semalam.

Mukah: Mayat seorang remaja yang dilaporkan hilang selepas perahu tambang dinaiki karam di perairan Sungai Mukah, di sini, kelmarin, ditemui terdampar di kawasan pantai Pentian, dekat sini, jam 8 pagi semalam.

Mayat Nurul Atikah Rosli, 17, itu ditemui seorang penduduk Usery Jerry, 38, dari Kampung Petanak, yang turun memasang pukat di pantai itu sebelum menghubungi Balai Polis Daerah Mukah melaporkan penemuan itu.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, jenazah Nurul Atikah sudah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Daerah Mukah untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

“Mayat Nurul Atikah ditemui lima kilometer dari lokasi perahu tambang itu karam. Ini kes mati lemas pertama dilaporkan berlaku di Mukah pada musim hujan.

“Saya nasihatkan orang ramai yang menggunakan perahu dan bot kecil lebih berhati-hati dan sentiasa menggunakan jaket keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi kelmarin, Allahyarhamah yang berasal dari Kampung Tanjong Bunut, di sini, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya mini di pusat bandar.

Bagaimanapun, perahu tambang dinaikinya terbalik selepas melanggar beberapa perahu nelayan yang berlabuh di tebing Pasar Mukah, di sini, dipercayai akibat arus deras sungai, sebelum karam.

Dalam kejadian itu, empat lagi mangsa terselamat, iaitu pemilik perahu tambang, Hepni Majidi, 35, serta penumpang lain Jali Gani, 63, Aliyana Wahida Ajiji,15 dan Siti Hawa Bujang, 47.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 8:19 AM