UPACARA menyediakan makanan untuk nenek moyang sebagai amalan tradisional masyarakat Chetti sebelum ahli keluarga menikmati jamuan istimewa.
UPACARA menyediakan makanan untuk nenek moyang sebagai amalan tradisional masyarakat Chetti sebelum ahli keluarga menikmati jamuan istimewa.
Oleh Norizzah Baharudin

Melaka

Walaupun hidup sebagai kelompok minoriti namun masyarakat peranakan Chetti Melaka di Gajah Berang di sini, masih terus meraikan perayaan Ponggal sebagai tanda kesyukuran.

Lebih menarik, perayaan Ponggal yang disambut kelmarin diadakan selama empat hari berturut-turut dengan dipenuhi pelbagai upacara kesyukuran.

Penduduk, T Sithambaram Pillay, 29, berkata, setiap keluarga perlu membuka pintu hadapan rumah dan membersihkan halaman rumah seawal 4 pagi sebelum matahari terbit kira-kira 30 hari sebelum perayaan itu.

“Selesai membersihkan halaman rumah, keluarga meletakkan kudup bunga raya di kiri dan kanan muka pintu serta menyalakan kemenyan sebagai tanda menjemput semula nenek moyang yang sudah meninggal dunia datang ke rumah hingga hari Ponggal bermula.

“Perayaan Ponggal atau dikenali dengan hari Parchu menandakan kesyukuran keluarga terhadap nenek moyang selain menyambut tahun baru,” katanya.

Menurutnya, mereka akan melakukan upacara penyembahan makanan kepada nenek moyang.

Kata Sithambaram, ahli keluarga akan menghidangkan nasi lemak yang disertakan dengan lauk tradisional masyarakat Chetti di atas daun pisang yang bersih dan tidak koyak sebelum dijamu kepada nenek moyang yang dijemput pulang.

“Daun pisang daripada bilangan ganjil disusun di atas lantai di ruang tamu rumah sebelum ahli keluarga paling dewasa meletakkan nasi lemak atas daun diikuti juadah seperti sambal timun, kuah pindang dan telur masin.

“Turut diletakkan ayam goreng, udang goreng dan sayuran selain sebuah dulang mengandungi buah-buahan antaranya mangga, anggur, epal, pisang dan durian. Satu lagi dulang diletakkan kuih kering seperti kuih bangkit, dodol dan wajik,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua jenis air panas dihidangkan sebagai pilihan kepada nenek moyang iaitu kopi dan teh yang mana ia tidak diletakkan gula sebaliknya ahli keluarga meletakkan gula batu di tepi cawan seolah nenek moyang menikmati sendiri kemanisan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:15 AM