Johor Bahru: Seorang wanita warga China menempuh episod hitam dalam hidupnya apabila empat penjenayah yang berlagak sebagai anggota polis bertindak merogolnya secara bergilir-gilir dalam kejadian di sebuah apartmen di Larkin, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, wanita berusia 38 tahun itu menjadi mangsa kumpulan suspek berkenaan yang sebelum itu menceroboh kediamannya kira-kira jam 9.20 malam.

Menurutnya, kumpulan berkenaan juga bertindak memukul seorang lelaki yang juga rakan suaminya berusia 42 tahun.

Menurutnya, selepas bertindak merogol mangsa, penjenayah terbabit menyelongkar kediaman berkenaan dan merompak barangan berharga yang bernilai kira-kira RM20,000 selain membogelkan rakan suaminya itu sebelum melarikan diri.

“Kami sedang memburu kesemua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya menasihati orang ramai supaya meminta sesiapa yang mengaku sebagai anggota polis menunjukkan kad kuasa dan sekiranya ragu-ragu boleh menghubungi polis untuk mengesahkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 7:11 AM