Kuala Lumpur: Syarikat kawalan keselamatan di negara ini disaran menyediakan bilik khusus untuk pengawal mengasingkan peluru dari senjata api bagi mengelakkan berlaku insiden tidak diingini membabitkan orang ramai.

Penasihat Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) Datuk Shaheen Mirza Habib berkata, dengan cara itu pengawal dapat membersihkan senjata dengan lebih rapi dan tidak mendatangkan risiko kepada orang awam yang berada di premis mereka bertugas.

Katanya, kebanyakan kes tertembak diri sendiri ketika bertugas mungkin berpunca daripada kesilapan teknikal dan ia tidak disengajakan dan semua pengawal keselamatan sudah mengikut prosedur ditetapkan pihak berkuasa.

“Ada kes senapang atau pistol meletup ketika bertugas tanpa disengajakan dan sebagai langkah untuk memastikan setiap senjata api diselenggara dengan baik mengikut prosedur sedia ada, persatuan mencadangkan syarikat keselamatan menyediakan bilik khas untuk mengasingkan senjata.

“Dengan cara itu, kita dapat mengelakkan daripada senjata api diacu kepada orang ramai yang mungkin memberi risiko sekiranya tertembak. Saya harap masyarakat tidak memberi persepsi negatif kepada pengawal keselamatan kerana mereka ini semuanya terlatih,” katanya kepada Harian Metro semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai seorang pengawal keselamatan tertembak kaki sendiri ketika berkawal di kompleks sukan di Kampung Datuk Keramat di sini.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, lelaki berusia 30 tahun terbabit yang dibekalkan senjata api, tertembak kakinya ketika mengosongkan senjatanya.

Shaheen Mirza berkata, ia adalah kes terpencil kerana ketika ini 11,000 senjata api yang dibekalkan kepada pengawal yang mempunyai lesen dan ia satu jumlah besar yang memerlukan penelitian.

“Kejadian itu perlu dijadikan iktibar semua syarikat keselamatan menyediakan kemudahan mencukupi bagi memudahkan pengawal bertugas, sesuai dengan kenaikan gaji yang diumumkan baru-baru ini.

“Kami harap mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan kawalan keselamatan juga memilih individu yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang masalah timbul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 9:03 AM