Oleh Hamizah Badiran

Peraduan Jom Selfie! Produk Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini memasuki minggu kedua. Orang ramai yang terlepas menyertai peraduan istimewa ini pada minggu pertama lalu, diharap tidak melepaskan peluang menghantar penyertaan untuk minggu kedua yang akan berakhir esok.

Ketua Komunikasi Korporat KPDNKK, Akhtar Sahari berkata, tinggal satu hari saja lagi untuk orang ramai menghantar penyertaan peraduan Jom Selfie! Produk Malaysia yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai bernilai RM20,000.

"Peserta hanya perlu bergambar selfie secara kreatif bersama barangan yang mempunyai logo rasmi Buatan Malaysia.

"Setiap minggu, 10 gambar selfie kreatif yang mendapat jumlah 'like' paling banyak berpeluang memenangi hadiah mingguan berupa wang tunai RM500 (tempat pertama), RM400 (kedua), RM300 (ketiga), RM200 (keempat) dan RM100 (kelima) manakala wang tunai RM50 akan dimenangi lima pemenang sagu hati," katanya.

Jelasnya, mekanisma peraduan bergambar selfie bersama produk yang tertera logo Buatan Malaysia bertujuan meningkatkan pemahaman orang ramai untuk mengenali dan menghargai barangan buatan tempatan. Peraduan Jom Selfie! Produk Malaysia yang bermula 2 Disember lalu dan berakhir 28 Januari 2015 adalah sejajar dengan pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) inisiatif KPDNKK.

Pelaksanaan kempen berkenaan bermatlamat memperkasa dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terhadap barangan buatan Malaysia. Ini termasuk membantu pengusaha domestik meluaskan jaringan pemasaran mereka dengan meningkatkan permintaan dalam kelompok pengguna tempatan.

Akhtar turut memberitahu, setiap koleksi gambar selfie yang diambil bersama produk buatan Malaysia perlu dimuat naik dalam laman Facebook 'Malaysiaku Jenama Kita'.

"Namun sebagai syarat utama penyertaan, sebelum peserta memuat naik gambar selfie, mereka perlu menekan butang 'like' pada laman Facebook itu terlebih dulu.

"Selain itu, tiga gambar selfie bertuah dalam peraduan Jom Selfie! Produk Malaysia sepanjang peraduan bakal memenangi hadiah istimewa, di mana masing-masing berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000," katanya.

Untuk keterangan lanjut mengenai Jom Selfie! Produk Malaysia, layari laman Facebook 'Malaysiaku Jenama Kita' yang turut memaparkan video panduan penyertaan pertandingan.

Info Hadiah Peraduan Jom Selfie! Produk Malaysia

Pemenang bertuah

-RM2,000 x 3 pemenang

Hadiah mingguan

-Pemenang pertama: RM500

-Pemenang kedua: RM400

-Pemenang ketiga: RM300

-Pemenang keempat: RM200

-Pemenang kelima: RM100

-Pemenang sagu hati: RM50 x 5 pemenang

Facebook: Malaysiaku Jenama Kita

Web: www.kpdnkk.gov.my

Tarikh tutup penyertaan minggu kedua: 15 Disember 2014

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:04 AM