Georgetown: Pergerakan Pemuda UMNO negeri meminta kerajaan Pulau Pinang memberi penjelasan berhubung dakwaan ada cadangan untuk menukar nama jalan Persiaran Gurney di sini, kepada Persiaran Chin Peng berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Ketuanya Rafizal Abd Rahim berkata, pihaknya tidak membiarkan pertukaran nama itu berlaku sewenang-wenangnya dan meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai menerusi aplikasi WhatsApp mengenai cadangan berkenaan dan meminta kerajaan negeri segera menjelaskan dakwaan pertukaran nama jalan berkenaan.

“Sejauh mana kebenaran maklumat itu tidak dapat dipastikan, namun kami bimbang jika dakwaan itu benar-benar terjadi dan kami memastikan usaha itu tidak berjaya.

“Pemuda UMNO negeri membantah sekeras-kerasnya jika cadangan itu diteruskan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Dakwaan cadangan pertukaran nama jalan Persiaran Gurney kepada Persiaran Chin Peng tidak masuk akal dan tidak benar sama sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 8:49 AM