Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Pertanyaan ‘awak kat mana?’ menyebabkan seorang kerani dibelasah teruk suaminya sebelum cuba dibunuh menggunakan pisau Rambo dan pisau pemotong daging.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi kelmarin, mangsa yang berusia 34 tahun turut ditumbuk dan diterajang suaminya di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Batu 4, Jalan Klang Lama, di sini.

Sumber polis berkata, insiden berlaku sejurus mangsa bertanyakan ke mana suaminya pergi sebelum pertengkaran mulut berlaku.

“Suami mangsa kemudian memukul dan menumbuk muka mangsa. Suspek kemudian mengambil pisau pemotong daging dan pisau Rambo bertujuan membunuh mangsa.

“Bagaimanapun mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan lari masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu bilik itu,” katanya.

Ekoran kejadian itu wanita terbabit bersembunyi selama beberapa jam di dalam bilik sebelum menghubungi jiran dan pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.

“Suami mangsa yang berusia 42 tahun turut mengunci pagar besi di rumah mereka menggunakan rantai bagi mengelakkan mangsa melarikan diri,” katanya.

Susulan itu sepasukan lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bergegas ke rumah mangsa sebelum menyelamatkan wanita itu.

“Polis memberkas suspek di dalamsatu bilik berkunci selain menemui dua pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan isterinya.

“Suspek kemudian ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 8:46 AM