Kuala Lumpur: Lapan suspek masing-masing enam warganegara Nepal dan dua Bangladesh ditahan polis selepas disyaki ada kaitan dengan penemuan mayat seorang wanita yang dibunuh sebelum disumbat ke dalam lubang kumbahan.

Mayat mangsa wanita itu ditemui berhampiran sebuah banglo dalam pembinaan di Jalan Setia Murni 11, Bukit Damansara di sini, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin oleh orang awam yang terhidu bau busuk.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, lapan suspek itu ditahan polis beberapa jam selepas mayat wanita yang sudah reput itu ditemui.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagaimana wanita itu dibunuh dan motif sebenar pembunuhan itu. Polis masih menunggu laporan bedah siasat dijalankan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sama ada mangsa dirogol terlebih dahulu sebelum dibunuh,” katanya ketika dihubungi semalam.

Muhammad Azlee berkata, semasa ditemui mayat mangsa dalam keadaan tidak berkepala dan tidak mempunyai kaki dan tangan dipercayai tertanggal daripada badan akibat reput.

“Kepala, kaki dan tangan mangsa ditemui berhampiran mayat mangsa di lubang kumbahan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:26 AM