NAJIB dan Rosmah bersama Norainee (depan, kanan) pada  pelancaran Karnival GeNexter 2014, semalam.
NAJIB dan Rosmah bersama Norainee (depan, kanan) pada pelancaran Karnival GeNexter 2014, semalam.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: “Golongan belia di negara ini dinasihat supaya tidak cepat putus asa, sebaliknya bersikap lebih proaktif dan berusaha mengejar impian masing-masing,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata demikian di hadapan 30,000 belia ketika merasmikan Karnival GeNexter 2014 di Dataran Putrajaya, di sini semalam.

Najib berkata, golongan belia perlu mengejar impian masing-masing demi mencapai kehidupan lebih bermakna dan pada masa sama perlu lebih proaktif serta menggunakan segala akal fikiran bagi berdepan cabaran mendatang.

Menurutnya, kerajaan sentiasa menyokong segala usaha bagi memastikan impian dan cita-cita golongan belia di negara ini menjadi realiti.

“Kerajaan menganggap golongan belia umpama mutiara dan cerminan masa depan negara. Justeru, generasi belia atau generasi Y perlu berusaha untuk menjadi manusia yang cemerlang dan berjaya selain meneruskan kesinambungan kejayaan negara.

“Kalau kita ada cita-cita untuk belajar bahasa Inggeris, membuka perniagaan atau mempelajari ilmu agama....teruskan dan jangan benarkan sebarang halangan dan rintangan menghampakan kita,” katanya.

Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua BAKTI dan isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selaku Naib Yang Dipertua BAKTI.

Turut hadir menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Katanya, sebagai pemimpin, beliau akan bertanggungjawab bagi memastikan keamanan dan keharmonian dapat dikekalkan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Najib berkata, beliau juga tidak mahu generasi belia mempunyai salah faham tentang agama sehingga sanggup menjadi pengebom berani mati.

Dalam perkembangan sama, Najib turut memuji langkah penganjuran Karnival GeNexter kerana menerusi program itu golongan belia berkesempatan untuk bertemu dan mengenali pemimpin setiap negeri.

Menurutnya, sebagai pemimpin negara, kerajaan juga perlu bertanggungjawab mewujudkan peluang pekerjaan dan pendidikan berkualiti kepada golongan belia.

“Saya juga ingin menasihatkan golongan belia supaya membina jati diri kukuh bagi memastikan mereka tidak mudah goyah selain memahami apa sahaja maklumat yang disebarkan dalam media sosial,” katanya.

Sementara itu, Rosmah berkata, BAKTI tidak pernah melupakan golongan belia kerana mereka adalah bayangan dan rupa wajah negara pada masa depan.

Menurutnya, beliau merasakan penganjuran karnival itu tepat pada masanya bagi membolehkan belia mempunyai ruang bersama pemimpin negara.

“Demi mencapai kejayaan pada masa depan, generasi belia seharusnya menjalin kerjasama dengan pemimpin negara sama ada di peringkat pusat dan negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:18 AM