TUANKU Syed Sirajuddin  menganugerahkan  Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada Sultan Hassanal Bolkiah, semalam.
TUANKU Syed Sirajuddin menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada Sultan Hassanal Bolkiah, semalam.

Georgetown: Brunei mahu terus komited mengukuhkan jalinan hubungan dua hala dengan Malaysia terutama dalam sektor pendidikan membabitkan kedua-dua negara.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bertitah, kerjasama erat yang sudah terbentuk antara Brunei dengan negara ini perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan kerjasama akrab dalam pelbagai sektor terutama membabitkan pendidikan penting bagi memangkin pembangunan negaranya, sekali gus mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

“Beta gembira dengan hubungan erat ini dan ingin melihat hubungan kerjasama ditingkatkan dari semasa ke semasa meliputi pelbagai bidang.

“Usaha sedemikian akan merapatkan lagi persaudaraan rakyat antara kedua-dua negara dan beta menyifatkan sokongan negara sahabat termasuk Malaysia penting,” titahnya.

Baginda bertitah sempena penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang pada Upacara Konvensyen Universiti Sains Malaysia (USM) Ke-50, di sini, semalam.

Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada Sultan Brunei disampaikan Raja Perlis yang juga Canselor USM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail disaksikan Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:10 AM