Kuala Lumpur: “Hanya mampu berdoa agar semuanya selamat,” kata seorang guru pengiring apabila bas yang dinaiki rombongan sekolahnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 406 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Tanjung Malim, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, bas sekolah yang membawa 44 penumpang iaitu murid dan guru sebuah sekolah di Pulau Pinang itu hilang kawalan lalu merempuh sebuah treler di hadapan.

Insiden itu menyebabkan sembilan cedera ringan iaitu enam guru pengiring, dua murid dan pemandu bas berkenaan.

Guru terbabit yang enggan dikenali berkata, mereka dalam perjalanan dari Pulau Pinang untuk menghadiri satu program di ibu kota.

“Ketika itu kebanyakan murid dan guru sedang tidur sehinggalah dikejutkan dengan dentuman kuat,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kebanyakan murid dan guru menjerit apabila menyedari bas yang dinaiki mereka merempuh sebuah treler yang berada di hadapan.

“Saya hanya mampu berdoa mengharapkan semua penumpang selamat. Tambahan pula keadaan ketika itu cemas dengan tangisan murid,” katanya.

Katanya, mujurlah insiden itu hanya membabitkan kecederaan ringan apabila terkena serpihan cermin tingkap yang pecah.

“Mangsa yang cedera berada di barisan hadapan bas termasuk pemandu bas berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.16 pagi berhubung kejadian itu.

“Sejurus menerima panggilan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Rawang dikerahkan ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa. Hanya lapan penumpang termasuk dua murid mengalami kecederaan ringan.

“Penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, semua yang tercedera dibawa ke Hospital Sungai Buluh untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Dalam pada itu, jurucakap polis berkata, kejadian berlaku apabila pemandu bas secara tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh belakang treler yang berada di hadapan.

“Polis sudah mengambil keterangan pemandu bas terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 7:43 AM