Kuala Lumpur: Kerajaan tidak berhasrat mewujudkan semula pengangkutan bas mini sebagai bas pengantara di sekitar Lembah Klang sebaliknya beberapa pendekatan lain diambil untuk menambah baik sistem pengangkutan awam darat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, kerajaan akan memperkenalkan perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) untuk memberi perkhidmatan di sekitar Lembah Klang.

“Kita ada BRT yang akan diperkenalkan di Lembah Klang. Untuk permulaan, jajaran Sunway sedang dibangunkan untuk beroperasi pada tahun hadapan.

“BRT juga dirancang diperluaskan bagi laluan Kuala Lumpur-Klang untuk menambah baik bas pengantara.

“Belum ada rancangan untuk mewujudkan semula bas mini kerana sudah mengadakan banyak pendekatan lain,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) sama ada kerajaan bercadang mewujudkan kembali pengangkutan bas mini bagi kemudahan penduduk di sesetengah kawasan perumahan yang tidak mempunyai perkhidmatan bas.

Terdahulu, dalam soalan asalnya Fong mahu dinyatakan rancangan pengangkutan awam dalam meleraikan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur dan sistem kenderaan persendirian dan jumlah bas awam digunakan serta kekurangan yang ada.

Nancy berkata, pelbagai inisiatif diambil kerajaan bagi mencapai objektif jangka pendek dan jangka panjang meningkatkan mutu perkhidmatan awam seperti bas henti-henti dan perkhidmatan rel di Lembah Klang.

Katanya, antaranya ialah projek Mass Rapid Transit (MRT) 1 yang menghubungkan Sungai Buloh ke Kajang yang sedang dibina dan dijangka beroperasi pada 2017.

“Bagi monorel, penambahan gerabak ketika ini hanya dua ditambah kepada empat gerabak. Kita juga ada ada projek MRT1 yang bakal beroperasi pada 2017.

“Projek MRT2 dari Kota Damansara ke Putrajaya pula sedang dalam proses mendapat kelulusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:11 AM