Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali. Sejak beberapa minggu lalu, saya berkongsi maklumat mengenai pusat latihan polis yang menjadi titik permulaan dalam kerjaya seseorang pegawai polis. Untuk minggu ini, mari kita mengenali sejarah dan latar belakang Pusat Latihan Polis Air Hitam, yang terletak kira-kira 32 kilometer dari Bahau, Negeri Sembilan.

Untuk makluman pembaca, PULAPOL Air Hitam yang dulunya dikenali sebagai PULAPAH, dikelilingi oleh gugusan tanah rancangan FELDA Serting Hilir, Negeri Sembilan dan FELDA Tembangau, Pahang.

Pada awal peringkat pembangunannya pada 1980, seramai tujuh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) (ketika itu dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan – PPH) dihantar untuk menjalankan kawalan dan penerokaan awal di tapak pusat latihan yang asalnya ladang tebu yang sekian lama ditinggalkan. Merekalah yang memastikan keselamatan kawasan ini daripada ancaman anasir luar seperti komunis dan binatang buas.

Pada 1 Disember 1980, sekumpulan perintis yang terdiri dari seramai tiga orang pegawai kanan dan 30 orang anggota pangkat rendah tiba secara berperingkat di PULAPOL Air Hitam, untuk memikul tugas masing-masing sebagai warga kerja perintis.

Menurut Allahyarham S I Talib Yusof, salah seorang mereka yang ditemubual ketika hayatnya, tiada apa-apa kemudahan asas ada ketika mereka tiba untuk menjalankan tugas. Apa yang ada hanyalah bangunan usang dan jentera yang rosak berselerakan. Bagi melelapkan mata dan berehat pada malam pertama mereka tiba di situ, rumah pekerja kilang yang dipenuhi pokok liar dan hutan lalang terpaksa dibersihkan dan mereka hanya diterangi cahaya lilin. Binatang buas seperti harimau, gajah, ular dan binatang liar lain berkeliaran di kawasan berhampiran tempat tinggal mereka. Kecekalan anggota PGA yang sudah lali dengan suasana sebegitu, langsung tidak menjadi penghalang kepada mereka. Bak kata perpatah ‘membujur lalu melintang patah’ dan sekelumitpun tidak menggugat hasrat mereka untuk melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Dalam proses awal pembangunannya, beberapa fasa dilaksanakan dalam mengenal pasti bangunan yang masih kukuh untuk pengubahsuaian di samping menjalankan kerja-kerja memindahkan sekumpulan gajah liar yang sudah lama mendiami kawasan ladang tebu ini. Beberapa gajah denak dari Thailand digunakan dalam misi itu. Semasa proses pengubahsuaian bangunan lama perumahan kilang gula berkenaan, seorang anggota komunis diberkas kerana menyamar dan menyusup masuk sebagai pekerja buruh binaan di pusat latihan tersebut.

Pada 15 Februari 1981, PULAPOL Air Hitam buat pertama kalinya menerima 443 orang pelatih, bagi menjalani latihan asas. Pada ketika itu, tiada bekalan elektrik disalurkan ke pusat latihan ini dan warga PULAPAH menggunakan janakuasa diesel tinggalan kilang gula untuk menikmati cahaya lampu dari jam 7.30 malam hingga jam 11 malam saja. Pada akhir 1999, barulah bekalan elektrik disalurkan ke pusat latihan ini.

Walaupun pelatih perintis ini melapor diri untuk menjalani latihan, mereka turut menyumbang tenaga membantu kerja pembersihan kawasan dalam membangunkan pusat latihan ini.

Sejak beroperasi dari 1980 hingga sekarang, beberapa kemudahan asas seperti Dewan Anggerik Merah, Dewan Kiambang, bangunan pengajian akademik, berek kediaman pelatih, masjid, lapang sasar, klinik kesihatan, perumahan kakitangan dan beberapa kemudahan lagi diganti dengan infrastruktur moden yang lebih baik dan amat membanggakan seperti yang terdapat pada hari ini.

Untuk makluman pembaca, bagi Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) konstabel, pusat latihan ini boleh menampung 1,500 pelatih dalam satu-satu masa. Masjid PULAPOL Air Hitam yang terdapat dalam kawasan pusat latihan ini dapat menampung 1,500 jemaah, manakala Dewan Perdana dan padang kawad PULAPOL Air Hitam juga boleh menampung 1,500 orang.

Dari awal penubuhan sehingga kini, PULAPOL Air Hitam berjaya melahirkan 37,381 anggota polis yang terdiri daripada konstabel lelaki dan wanita serta konstabel sokongan lelaki dan wanita.

Sehingga kini pusat latihan ini diterajui 12 komandan yang bertanggungjawab dalam melahirkan pegawai polis yang berwibawa. Komandan sekarang ialah ACP Samsor Maarof, yang meneruskan visi dan misi serta prinsip TEKADKU PENGABDIAN TERBAIK.

Semenjak 36 tahun penubuhannya, PULAPOL Air Hitam menjalankan pelbagai program latihan dalaman dan luaran seperti berikut:

KURUS DALAMAN

1. Kursus Etika Dan Integriti PDRM Zon Selatan

2. Kursus Amali Tugas Am

3. Kursus Teknik Mengajar

4. Kursus Pengucapan Awam

5. Kursus Fasilitator Induksi Umum

6. Kursus Teknik Tangkapan

7. Kursus T-Baton

8. Kursus Asas Menunggang Motosikal Ringan

9. Kursus Jurulatih Kawad

10. Kursus Jurulatih Asas Pertolongan Cemas

11. Kursus Bahasa Inggeris

12. Kursus Asas Nafiri

13. Kursus Asas Fotografi Dan Videografi

14. Kursus Pemantapan Integriti

15. Kursus Pengurusan Tekanan Dan Psikologi

16. Kursus Pemantapan Keagamaan Bagi Mua’laf

KURSUS UNTUK JABATAN LUAR

1. Kursus Asas Polis Bantuan Bagi Agensi Kerajaan, Badan Berkanun, Badan Tidak Berkanun dan agensi swasta

2. Kursus Asas Sukarelawan Polis

3. Kursus Asas Pegawai Penyiasat BPR Malaysia.

4. Kursus Penyeliaan Polis Bantuan

5. Kursus Asas Pegawai Kanan Kadet Sekolah

6. Kursus Ketua Polis Balai Bagi MAB

7. Kursus Tahunan Sukarelawan Malaysia

8. Perkhemahan Kadet Polis Peringkat Kebangsaan 1996

9. Kursus Certified Security Guard (CSG)

Menyedari perlunya pengiktirafan ke tahap yang lebih tinggi setanding dengan latihan yang dilalui dalam Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) selama 6 bulan, maka kerjasama dicapai antara Polis Diraja Malaysia dengan University Of Derby yang berpusat di England agar pelatih yang tamat menjalani kursus asas kepolisan menerima pengiktirafan peringkat diploma.

Kolaborasi PDRM dengan University Of Derby ini menjadi pencapaian yang terulung di atas usaha gigih barisan kepemimpinan PDRM untuk memartabatkan pusat latihan polis di peringkat antarabangsa.

Sejarah penubuhan awal PULAPOL Air Hitam ini amatlah membanggakan. Warga PDRM yang terbabit sebagai kumpulan perintis dalam kewujudan pusat latihan ini membuktikan bahawa pengorbanan kepada pasukan bukanlah sesuatu yang boleh dijual beli. Berbekalkan semangat kental dan kesungguhan dalam melihat impian pasukan tercapai, mereka sanggup ditugaskan di mana saja dan melaksanakan tanggungjawab dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya, berdirinya PULAPOL Air Hitam hari ini adalah hasil pengorbanan dan keringat kumpulan perintis yang perlu disanjung dan dikekalkan dalam sejarah penubuhan pusat latihan PDRM secara amnya.

Syabas dan terima kasih atas pengorbanan kalian.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 4:53 AM