MOHAMAD Firdaus bersama ayam spesies Poland.
MOHAMAD Firdaus bersama ayam spesies Poland.
Hidayatidayu Razali


Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu yang menyebabkan penduduk negara ini perlu berada di rumah mencetuskan idea kepada seorang penternak ikan sangkar untuk memelihara ayam eksotik atau hiasan.

Bermula dengan hanya sepasang ayam eksotik baka Sebringt Gold bernilai RM350 yang dibeli daripada seorang penternak pada Mac tahun lalu, kini dalam tempoh dua tahun sudah lebih 50 ayam yang berjaya dibiakkan.

Ayam berkenaan bukan sahaja dipelihara sebagai hobi untuk mengisi masa lapang, malah kini ianya turut memberi limpahan rezeki dan pendapatan lumayan kepada pemiliknya.

Harga ayam eksotik ini bergantung kepada baka dan keunikan warnanya yang pelbagai termasuk corak berbatik, mempunyai balung, kepak serta ekor yang menarik.

Keunikan ayam ini mampu menarik peminatnya dan boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi mencecah ribuan ringgit sepasang.

Bagi Mohamad Firdaus Shafien, 33, yang tinggal di Kampung Kedai Buloh, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, kelantan berkata, dia memelihara ayam pada asalnya untuk mengisi masa lapang memandangkan pelaksanaan PKP yang agak lama ekoran penularan pandemik Covid-19.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, ketika PKP dia tidak dapat bekerja dan tidak boleh merentas daerah untuk memantau serta melihat ikan sangkar diusahakannya yang terletak di Pantai Seri Tujoh, dekat Tumpat.

Katanya, dia tinggal di Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu dan tidak dapat untuk merentas daerah menyebabkan dirinya banyak berkurung di rumah.

"Sebelum menternak ayam eksotik, saya membuat kajian terlebih dahulu termasuk keadaan pasaran dan cara untuk menternak daripada rakan serta penternak haiwan berkenaan menerusi laman Facebook.

"Mereka tidak lokek apabila sentiasa sudi berkongsi ilmu cara-cara menternak ayam termasuk makanan yang sesuai dan cara penjagaan bagi mengelakkan penyakit," katanya.

AYAM spesies Gold Sebright Bantam.
AYAM spesies Gold Sebright Bantam.

Menurutnya, selepas yakin, dia mula mencari sepasang ayam dan tidak sangka percubaan ini membuahkan kejayaan apabila haiwan itu membiak dengan jayanya, hingga kini lebih 50 ekor yang sudah dibiakkan serta beberapa pasang sudah dijual.

Suami kepada Suhaily Suhana Yusoff, 35, itu berkata, dia dapat menternak ayam berkenaan dengan baik walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang itu, namun hasil tunjuk ajar daripada mereka yang mempunyai ilmu, dia mampu melakukannya.

Katanya, sangat penting untuk menuntut ilmu iaitu bertanya kepada penternak lain demi memastikan ayam yang dipelihara dapat membiak sekali gus mengelakkan sebarang penyakit selain dapat menghasilkan baka bermutu tinggi.

"Alhamdulillah, selepas hampir dua tahun menternak, kini terdapat lapan baka ayam eksotik yang saya pelihara iaitu Sebringt Gold dan Silver, Brahma, Giant Cochin, D'uccle, Wyandotten, Poland, Silkie dan Cemani.

"Ayam paling disayangi adalah baka Wyandotten dan Brahma kerana masing-masing bernilai tinggi iaitu lebih RM1,000 dan RM700 sepasang bagi yang dewasa. Walaupun kedua-dua jenis ayam ini mahal, namun tetap mendapat permintaan yang tinggi.

"Bagi anak ayam berusia dua minggu, harganya pula boleh dijual antara RM50 hingga RM70 seekor. Bagi sepasang anak ayam pula boleh mencecah lebih RM100," katanya.

Jelasnya, baka yang sukar diperoleh adalah Wyandotten kerana masih kurang orang yang menternak spesies ini dan harganya yang mencecah ribuan ringgit.

Justeru itu, Mohamad Firdaus berkata, dia sangat mengambil berat khususnya dari segi penjagaan telur bagi menjamin anak ayam yang dihasilkan bermutu tinggi.

"Bagi mereka yang ada baka yang baik, peminat ayam ini sanggup menempah ayam eksotik sebaik induk bertelur dan tunggu telur menetas.

ANAK ayam yang dibiakkan Mohamad Firdaus di Kampung Kedai Buloh.
ANAK ayam yang dibiakkan Mohamad Firdaus di Kampung Kedai Buloh.

"Sesetengah daripada penternak sanggup melabur dengan membeli inkubator telur yang berharga ratusan ringgit bagi memastikan proses pengeraman telur dapat dilakukan dengan baik," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan ayam ini, dia membuat beberapa reban di belakang rumahnya selain semua baka diasingkan.

Katanya, memelihara ayam eksotik ini tidak rumit asalkan mempunyai ilmu yang cukup kerana jika tidak mahir, ayam yang dipelihara boleh terkena penyakit seterusnya akan mati.

"Oleh itu, ayam hiasan ini memerlukan vitamin dan nutrisi supaya tumbesarannya terjaga, malah keperluan lain seperti persekitaran yang selesa turut diberi perhatian oleh penternak.

"Ayam hiasan eksotik ini dibiakkan untuk menjadi baka yang asli supaya dapat diperoleh di negara ini dengan mudah pada masa depan," katanya.

Mohamad Firdaus berkata, ayam eksotik yang dipeliharanya turut dijual kepada peminat bukan sahaja dalam Kelantan, malah ada pembelinya dari luar negeri termasuk Kedah dan Terengganu.

"Bagi memastikan ayam ini sampai kepada pembeli, saya menggunakan penghantar barang khas supaya haiwan ini akan sampai kepada pembeli dengan selamat.

"Kepada mereka yang mahu menceburkan diri memelihara ayam eksotik ini, saya nasihatkan cari ilmu terlebih dahulu kerana haiwan ini mempunyai potensi pasaran yang besar. Jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh ianya akan mendatangkan pulangan lumayan kerana mempunyai ramai peminat di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 6:20 AM