Muhamaad Razis Ismail


MELIHAT keletah dan gelagat burung kakaktua yang dinamakan Brulee, pasti membuatkan sesiapa saja geli hati.

Apa tidaknya, burung spesies African Grey berusia empat bulan ini begitu petah mengajuk kata-kata pemiliknya Mazuki Ibrahim, 48.

'Abah,''meow,''ready' dan 'bye' antara perkataan yang sering diungkapkan Brulee ketika berada di rumah.

Burung kakaktua betina ini yang dibiarkan bebas bergerak dan terbang di dalam rumah selain dilihat begitu rapat dengan pemilik serta ahli keluarganya yang lain.

Jadi tidak hairanlah, Brulee cukup dikenali di media sosial TikTok sehingga memiliki lebih 100,000 pengikut.

Mazuki berkata, selepas berpindah di kediaman baru di Sepang, Selangor, dia merancang untuk memiliki haiwan peliharaan untuk mengisi lapang.

Pada mulanya, dia merancang untuk memelihara kucing dan ikan namun terpaksa dilupakan kerana kos yang tinggi selain isteri berdepan masalah alergik.

"Secara kebetulan, ada rakan memelihara burung kakaktua sebelum saya membuat carian di Internet dan mendapati haiwan ini mudah dijaga selain tidak membabitkan kos yang tinggi.

"Tertarik dengan keunikan haiwan ini, saya buat keputusan untuk membeli burung kakaktua berusia enam minggu daripada seorang pembiak dari Sungai Petani, Kedah pada Disember 2017," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

BRULEE ketika masih kecil.
BRULEE ketika masih kecil.

Menurutnya, untuk tahun pertama, dia mengakui berdepan sedikit cabaran kerana pada usia ini, burung ini perlu disuap.

"Saya dan isteri, Rosmawati Mt Yaacob akan bergilir-gilir menyuapkan makanan empat kali sehari sehingga usianya mencapai setahun.

"Selepas burung ini boleh makan sendiri, penjagaannya menjadi lebih mudah dan tidak terlalu rumit.

"Malah sejak dipelihara, Brulee tidak pernah sakit dan saya hanya membawanya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali," katanya.

Jelasnya, Brulee akan dibiarkan bebas bergerak dan terbang di dalam rumah pada setiap hari.

SANGKAR Brulee.
SANGKAR Brulee.

"Brulee hanya dimasukkan ke dalam sangkar, pada 11 malam untuk tidur sebelum dilepaskan keluar seawal 7.30 pagi. Jika lambat Brulee akan 'membebel' minta dikeluarkan.

"Kebiasaannya, apabila saya keluar, Brulee akan ke dapur menemani isteri menyediakan kek," katanya.

Beliau turut berkongsi insiden yang tidak boleh dilupakan apabila Brulee hilang selama tiga hari ketika dibawa pulang bercuti di kampung.

BRULEE sudah dianggap seperti keluarga sendiri.
BRULEE sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

"Brulee yang berusia tiga bulan pada ketika itu terkejut sebelum terus terbang dan hilang. Kami cuba mencari di kawasan sekitar namun tidak ditemui.

"Pada ketika itu, memang kami tidak boleh tidur lena memikirkan nasib Brulee. Alhamdulillah masuk hari ketiga, Brulee ditemui selamat apabila hinggap di pokok kelapa berhampiran rumah," katanya.

Tambahnya, Brulee sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri sekali gus mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh dua anak yang sudah besar.

"Kami pernah cuba tinggalkan Brulee di kedai haiwan untuk bercuti di Pulau Pinang selama lima hari. Namun hari ketiga kami sudah balik kerana terlalu rindu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 6:30 AM