BURUNG kakaktua yang dilatih.
BURUNG kakaktua yang dilatih.
Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my

Burung kakaktua sering dikaitkan dengan kebolehannya bercakap dan mengajuk perkataan sehingga mampu membuatkan sesiapa sahaja terhibur.

Tidak cukup dengan itu, bulunya yang berwarna-warni turut menjadi daya penarik dan tumpuan orang ramai untuk melihat aksinya.

Jadi, tidak hairanlah ada yang sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk menjadikan burung ini sebagai haiwan peliharaan.

Selain itu, burung ini boleh dilepaskan untuk terbang bebas atau lebih dikenali sebagai 'free fly' sebelum kembali hinggap di tangan pemiliknya.

Jurulatih burung kakaktua, Abd Raziq Abd Rahman, 24, berkata, dia mula melatih burung kakaktua untuk terbang bebas di Skudai, Johor sejak dua tahun lalu.

Katanya, ilmu melatih burung ini diperoleh daripada jurulatih berpengalaman dari luar negara dan di Internet.

ABD Raziq bersama burung kakaktua.
ABD Raziq bersama burung kakaktua.

"Kemudian saya praktikkan ilmu itu dengan melatih enam burung kakaktua yang dipelihara sejak beberapa tahun lalu.

"Selepas itu, secara perlahan-lahan saya mula mendapat tawaran untuk melatih burung kakaktua terbang sehingga kini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Abd Raziq berkata, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa unggas itu perlu dilatih untuk terbang seperti burung lain.

"Sekiranya haiwan ini dibiarkan terkurung sepanjang masa di dalam sangkarnya, ia tidak akan terbang.

"Keadaan ini secara tidak langsung akan menyebabkan burung stres sehingga mencabut bulunya sendiri," katanya yang mula memelihara burung kakaktua sejak 10 tahun lalu.

NESTUM diberikan sebagai ganjaran kepada burung.
NESTUM diberikan sebagai ganjaran kepada burung.

Menurutnya, waktu paling sesuai untuk melatih burung kakaktua terbang adalah pada usianya empat bulan.

"Pada usia anak suap ini, burung ini lebih mudah diajar dan dijinakkan berbanding burung dewasa yang mengambil masa kerana sudah lama tidak terbang.

"Latihan bermula dengan membina hubungan dengan burung terbabit melalui proses 'recalled' selain sentiasa memanggil namanya. Melalui proses ini, burung dapat mengenal pasti suara dan nada pemiliknya.

"Saya akan berikan ganjaran makanan apabila ia bertindak balas selepas dipanggil.

Latihan ini akan berjalan sehingga burung mencari pemiliknya untuk mendapatkan makanan," katanya.

PENGESAN GPS dipasang untuk mengurangkan risiko kehilangan burung.
PENGESAN GPS dipasang untuk mengurangkan risiko kehilangan burung.

Jelasnya, apabila sayap dan staminanya sudah kuat, burung akan dilatih untuk terbang di dalam rumah selama tiga minggu.

"Kemudian, apabila sudah mahir, saya akan mula membawanya keluar untuk membiasakan dengan suasana di luar.

"Latihan di luar ini juga mengambil masa kira-kira tiga minggu sebelum haiwan ini boleh dilepaskan untuk terbang," katanya.

Tambahnya, pada setiap pagi, dia akan memperuntukkan masa selama dua jam untuk melatih burung kakaktuanya terbang di luar.

"Sekitar 7 pagi saya akan bawa burung kakaktua terbang di kawasan sekitar. Ada sebab saya memilih sebelah pagi kerana sekiranya haiwan ini hilang, masa untuk mencari lebih panjang berbanding pada sebelah petang.

"Pemilik juga perlu memahami bahasa badan burung dan jangan memaksa burung terbang untuk mengelakkan risiko hilang," katanya.

BERSAMA komuniti free fly yang semakin berkembang.
BERSAMA komuniti free fly yang semakin berkembang.

Katanya, untuk memelihara burung kakaktua, seseorang itu perlu membuat penelitian dan melengkapkan diri dengan ilmu.

"Penjagaannya sangat mudah dan tidak membabitkan kos yang tinggi namun menuntut komitmen daripada pemiliknya.

"Sangkar perlu sentiasa bersih untuk elakkan penyakit selain pemiliknya perlu luangkan masa pada setiap hari bermain dengannya kerana burung ini sentiasa inginkan perhatian," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia mahu terus mengembangkan komuniti 'free fly' di Johor dan seluruh negara menjadi lebih besar.

"Alhamdulillah, saya lihat semakin ramai mula mempunyai pengetahuan mengenai burung ini dan harga burung juga sudah mampu milik berbanding sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 7:00 AM