Fairul Asmaini Mohd Pilus

[email protected].

Keletah burung kakaktua yang cerdik, jinak dan pandai berkata-kata sememangnya menarik perhatian ramai.

Berbanding burung lain, kakaktua juga memiliki bulu yang unik dan berwarna warni.

Biarpun harganya mahal dan perlu memiliki lesen namun ia tidak menghalang peminat di negara ini untuk membelanya.

Semua faktor itu turut mendorong Mohd Azarizan Ali, 37, dari Kuala Terengganu, Terengganu untuk berhabis ribuan ringgit bagi memiliki 10 ekor burung kakaktua pelbagai jenis.

Hobi yang dianggap mahal itu bermula kira-kira 10 tahun lalu apabila Mohd Azarizan melihat kawannya membela burung berkenaan.

Dek kerana tertarik dengan keunikan dan kecerdikan burung itu, Mohd Azarizan kemudiannya membeli seekor anak burung kakaktua jenis African Grey untuk dibela.

"Harga anak suap African Grey (umur antara 60 hingga 70 hari) ketika itu dijual pada RM2,000 beserta lesen sekali.

"Malah harganya masih berbaloi berbanding harga pasaran ketika ini yang sudah meningkat berkali ganda.

"Ia menjadi pilihan kerana pada peringkat umur anak suap itu, burung terbabit mudah diajar dan dijinakkan," katanya kepada Harian Metro.

Minat Mohd Azarizan terhadap burung kakaktua mula bercambah dan dia menambah koleksi seekor demi seekor hingga kini sudah memiliki 10 ekor semuanya.

MEMPERUNTUKKAN sejam setiap petang untuk bermain dan membiarkan burung kakaktua terbang bebas. FOTO Ghazali Kori
MEMPERUNTUKKAN sejam setiap petang untuk bermain dan membiarkan burung kakaktua terbang bebas. FOTO Ghazali Kori

Antara jenis burung kakaktua yang dibela Mohd Azarizan ialah blue and gold macaw, sulphur crested cokatoo, chestnut macaw dan hahn macaw.

Katanya, burung kakaktua ini ada dua dokumen kebenaran iaitu satu permit dan keduanya ialah lesen.

"Bagi komuniti burung di Malaysia, semuanya adalah berlesen sementara untuk permit dalam kebanyakan kes, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak memberi kebenaran kerana membabitkan spesies burung terancam," katanya.

Menurut Mohd Azarizan lagi, harga pasaran burung itu dijual mengikut tahap tumbesarannya.

LESEN diperlukan untuk membela burung kakaktua. FOTO Ghazali Kori
LESEN diperlukan untuk membela burung kakaktua. FOTO Ghazali Kori

Katanya, lebih matang burung itu, lebih mahal harganya berikutan risiko untuk haiwan berkenaan mati lebih rendah kerana sudah pandai berdikari dan makan sendiri tanpa perlu disuap oleh tuannya.

"Namun, jika untuk pelihara sendiri, seeloknya beli pada umur 'anak suap' kerana kita boleh jinakkan dan ajar ia dengan perkataan diinginkan.

KEKACANG antara makanan pilihan burung kakaktua. FOTO Ghazali Kori
KEKACANG antara makanan pilihan burung kakaktua. FOTO Ghazali Kori

"Semua burung kakaktua peliharaan saya boleh 'bercakap' Assalamualaikum, hai, bye, kakak, abah dan meniru suara kucing serta angsa.

"Perkataan berkenaan diajar sejak ia kecil lagi kecuali suara kucing dan angsa yang ditiru dari suasana persekitaran rumah," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azarizan berkata, biarpun harga untuk mendapatkan burung itu mahal namun kos penjagaan haiwan terbabit tidaklah semahal mana.

Ini kerana burung kakaktua hanya makan makanan seperti kekacang, sayur-sayuran dan buah-buahan terutama epal merah.

Katanya, jadual makan burung itu hanya pada sebelah pagi dan petang sahaja.

"Biasanya, sebelum diberi makan, saya akan 'mengajarnya' dengan beberapa perkataan atau gerakan yang dimahukan.

"Burung itu biasanya lebih mudah untuk diajar dan mendengar kata ketika ia lapar," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azarizan juga akan memandikan semua burung kakaktua peliharaannya antara satu atau dua kali seminggu.

ANTARA burung kakaktua yang dipelihara Mohd Azarizan. FOTO Ghazali Kori
ANTARA burung kakaktua yang dipelihara Mohd Azarizan. FOTO Ghazali Kori

Kata Mohd Azarizan, ia juga bergantung kepada cuaca kerana jika hujan, burung itu tidak akan dimandikan.

"Ia tidak boleh terlalu kerap dimandikan kerana suhu badannya perlu sentiasa normal, tidak boleh terlalu sejuk atau panas.

"Selain itu, burung kakaktua juga tidak boleh stres kerana jika tidak, bulunya yang cantik itu boleh tercabut.

"Untuk itu, setiap hari pada sebelah petang, semua burung kakaktua akan dilepaskan untuk terban

g dan bermain di luar sangkar selama sejam bagi mengelakkan ia tertekan akibat dikurung seharian," katanya yang turut berkongsi minat yang sama dengan rakan baiknya, Mohd Azraf Zakaria.

MOHD Azarizan bersama burung kakaktua peliharaannya. FOTO Ghazali Kori
MOHD Azarizan bersama burung kakaktua peliharaannya. FOTO Ghazali Kori

Sementara itu, ketika ditanya adakah dia sanggup menjual koleksi burung kakaktua kesayangannya itu jika ada yang menawarkan harga tinggi, Mohd Azarizan berkata, haiwan berkenaan sama sekali tidak akan dijual.

Katanya, burung berkenaan sudah dianggap sebagai ahli keluarga dan ia juga terapi untuk menghilangkan tekanan seharian.

"Memelihara haiwan seperti burung kakaktua ini boleh menghilangkan tekanan.

"Memang seronok 'bercakap' dengan burung kakaktua ini kerana ia akan meniru perkataan yang diajar.

"Jika ada rezeki, saya memang berhasrat untuk mendapatkan seekor lagi burung kakaktua jenis green wing macaw yang sememangnya menjadi idaman ramai kerana warna kepaknya yang cantik selain

harganya juga agak mahal, boleh mencecah puluhan ribu ringgit," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 7:00 AM