ANTARA set aksesori permainan untuk kucing.
ANTARA set aksesori permainan untuk kucing.
Hafiz Ithnin


AKIBAT tamparan Covid-19, pemilik nama Anne Rejie Sim diberhentikan kerja dan tidak menyangka dengan kemahiran bertukang dia mampu membuat aksesori dan sangkar kayu untuk kucing serta kura-kura.

Malah, dia yang mempunyai 17 kucing di rumah juga dapat memahami sikap atau tingkah laku si bulus itu untuk berehat atau bermain dengan aksesori yang disediakan pemiliknya.

Anne berkata, sebagai pembuat rumah atau aksesori kucing dan kura-kura, dia selalu merujuk video di laman sosial untuk mempelajarinya.

Katanya, kucing dan kura-kura juga sebenarnya memerlukan rumah dan aksesori yang boleh menjadikan mereka rasa lebih selesa serta aktif.

"Sebenarnya selepas diberhentikan kerja pada tahun lalu saya hanya membuat aksesori dan sangkar berasaskan kayu kepada pelanggan yang memiliki kucing.

"Tetapi, sekitar tiga bulan lalu, rakan saya mempunyai kura-kura jenis Tortoise Sulcata yang tidak hidup di tempat kering. Jadi, saya mula membuat rumah untuk kura-kura pula," katanya.

Tambahnya, dia melakukan aktiviti untuk membuat sangkar dan aksesori untuk kucing dan kura-kura seorang diri saja.

"Bermula dari melukis pelan 'kediaman' si comel, membeli kayu, mengetam dan memasangnya saya lakukan sendiri.

"Perkara lebih penting, kita perlu tahu mengenai hasilnya dapat memberikan keselesaan kepada kucing atau kura-kura untuk tinggal dan bermain di dalamnya," katanya.

ANNE mempelajari membuat sangkar dan aksesori untuk kucing dan kura-kura menerusi laman web.
ANNE mempelajari membuat sangkar dan aksesori untuk kucing dan kura-kura menerusi laman web.

Bagi Anne, sebagai peminat haiwan terutama kucing jalanan yang kini menjadi haiwan kesayangan peliharaannya, kucing amat memerlukan tempat yang selesa untuk berehat dan mempunyai fungsi untuk si comel itu cergas.

"Jadi, dengan membuat aksesori yang mempunyai kedua-dua fungsi itu, ia bukan sahaja dapat menjadikan kucing kita gembira, malah dalam rumah juga kelihatan lebih teratur.

"Boleh dikatakan apabila saya hendak membuat sangkar atau tempat permainan kucing, saya meletakkan diri pada mereka yang pastinya gemarkan sesuatu yang selesa dan menarik untuk didiami," katanya.

AKSESORI permainan kucing yang teratur dalam rumah.
AKSESORI permainan kucing yang teratur dalam rumah.

Bercerita mengenai sangkar untuk kura-kura, Anne berkata, dia melihat kura-kura yang tidak tinggal di tempat berair sebenarnya boleh mempunyai rumah ala banglo untuk si comel itu menghuni.

"Jadi, apabila percubaan pertama saya membuat sangkar kura-kura untuk kawan diterima dan dia tidak menyangka hasilnya seperti sebuah rumah, saya lebih kreatif untuk membuat rumah kura-kura mengikut cita rasa yang diinginkan pelanggan.

"Jadi, apabila ingin membuat rumah untuk kura-kura ini biasanya pelanggan akan berjumpa saya dan bercerita keinginan mereka untuk membina 'kediaman' si comel masing-masing," katanya.

SANGKAR kura-kura yang menarik dihasilkan Anne.
SANGKAR kura-kura yang menarik dihasilkan Anne.

Setiap bulan Anne menerima tempahan antara empat hingga lima pelanggan dan dia juga amat memastikan 'kediaman' si comel pelanggan dapat disiapkan mengikut cita rasa si pemilik.

"Setakat ini, saya hanya menerima tempahan untuk di Lembah Klang sahaja dan pelanggan perlu mengambilnya sendiri kerana saya tidak mempunyai pengangkutan.

"Jika ingin dipos pula, harga akan jadi lebih tinggi kerana saiz sangkar dan aksesori yang agak besar. Jadi, tidak berbaloi jika menggunakan khidmat penghantaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 6:18 AM