Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

Kuala Lumpur: Peranti kelas mercu baharu Huawei iaitu P50 Pro sudah habis dijual dalam masa lima hari saja sepanjang tempoh pra tempahan sejak ia dilancarkan minggu lalu.

  Pakej pra tempahan yang menawarkan jumlah barangan bernilai RM2,100 menjadi daya tarikan utama bagi pengguna untuk mendapatkan peranti terbaharu syarikat berkenaan.

  Berdasarkan satu kenyataan akhbar syarikat berkenaan menyatakan bahawa ia menunjukkan perkembangan positif sekali gus memberi manifestasi bahawa Huawei terus mendapat kepercayaan daripada penggemar dunia teknologi mudah alih.

  Huawei Malaysia yang mengadakan kempen eksklusif P50 Pro di BMW Auto Bavaria Tebrau merekodkan jumlah pra tempahan yang tinggi termasuk di Huawei Experience Stora, Sunway Velocity.

  Sejak peranti itu dilancarkan pada 12 Januari lalu, Huawei P50 Pro dan versi P50 Pocket menampilkan padanan teknologi semasa terutamanya membabitkan keupayaan kamera yang mengagumkan.

  Kedua-dua peranti itu hadir dengan keupayaan optik XD Huawei dan Enjin Imej XD Fusion Pro sekali gus memberi kualiti gambar terbaik serta membawa tahap baru dalam fotografi mudah alih.

  Menyentuh aspek spesifikasinya, peranti Huawei P50 Pro ini menggunakan tetapan empat lesan iaitu 50 megapiksel (MP) kamera 'True Chroma' dengan sensor F/1.8 bersama-sama padanan 40MP True Chroma dengan sensor Mono F/1.6.

  Dua lagi lensa adalah 13MP untuk sudut ultra lebar dengan 64MP lensa telefoto bersama sensoir F/3.5 bersama-sama dengan teknologi OIS.

  Hasil gabungan lensa berkenaan, ia berkeupayaan untuk pembesaran digital, pembesaran optikal dan pembesaran hibrid mengikut tetapan pengguna.

  Keupayaan pemproses Qualcomm Snapdragon 888 ini bersama padanan memori (RAM) 8GB bukan saja memberi kelicinan dalam segenap pelancaran aplikasi malah ia memberi kesan positif dalam prestasi kamera secara tidak langsung.

  Rekaan lengkuangan di kiri dan kanan juga memberi keselesaan kepada pengguna untuk menaip, memegang malah itu adalah ciri utama peranti ini berada pada tahap yang tersendiri.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 7:49 PM