APPLE umumkan syarikat berkenaan sudah menggandakan bilangan pembekal yang komited untuk menggunakan 100 peratus tenaga bersih.
APPLE umumkan syarikat berkenaan sudah menggandakan bilangan pembekal yang komited untuk menggunakan 100 peratus tenaga bersih.
Muhammad Saufi Hassan


MUNGKIN ramai yang tidak menyangka bahawa setiap pengeluaran peranti sama ada telefon pintar, tablet atau laptop menggunakan bahan unik bumi, sekali gus meningkatkan kadar penggunaan karbon secara keseluruhannya.

Untuk itu, wujud satu inisiatif dalam kalangan pemain industri untuk menggunakan bahan unik bumi yang terpakai serta mengehadkan penggunaan bahan perkakas lain seperti pengecas dan sebagainya.

Pengeluar peranti pintar terkemuka, Apple antara syarikat teknologi yang mengambil inisiatif awal apabila melakukan penjimatan penggunaan bahan unik bumi dalam pengeluaran peranti jenama mereka.

Apple juga sudah mengumumkan pelancaran rancangannya untuk menjadi neutral karbon merentas keseluruhan perniagaan, rantaian bekalan pembuatan dan kitaran hayat produk menjelang 2030.

Pelan 'zero carbon' berkenaan diumumkan sejak dua tahun lalu iaitu pada 2020 dan syarikat berkenaan meletakkan sasaran untuk mencapai pengeluaran karbon sifar sebelum 2030.

Disember lalu, Apple mengumumkan syarikat berkenaan sudah menggandakan bilangan pembekal yang komited untuk menggunakan 100 peratus tenaga bersih sepanjang tahun lalu, sekali gus mempercepatkan lagi pelan 'karbon sifar 2030'.

Secara keseluruhannya, 175 pembekal syarikat itu beralih kepada menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan syarikat serta pembekalnya akan membawa dalam talian lebih daripada sembilan gigawatt kuasa bersih ke seluruh dunia.

Tindakan ini akan mengelakkan lebih 18 juta tan metrik Karbon Dioksida Setara (CO2e) iaitu bersamaan dengan lebih empat juta kereta atas jalan raya setiap tahun.

Apple juga menambah 10 projek baharu untuk inisiatif 'Kuasa Impak' (Power of Impact) untuk membawa penyelesaian tenaga bersih kepada komuniti di seluruh dunia.

INISIATIF mesra alam bertujuan memberikan peralihan segmen perniagaan yang lebih mesra hijau.
INISIATIF mesra alam bertujuan memberikan peralihan segmen perniagaan yang lebih mesra hijau.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook berkata, setiap syarikat perlu menjadi sebahagian daripada gerakan menentang perubahan iklim dan bersama-sama pembekal serta segenap pihak.

"Kami bertindak dengan segera dan kami bertindak bersama-sama, tetapi masa bukan sumber yang boleh diperbaharui dan kita mesti bertindak cepat untuk melabur dalam masa depan yang lebih hijau dan saksama," katanya.

Walaupun Apple sudah pun neutral karbon merentasi operasi globalnya menjelang 2030, setiap peranti Apple yang dijual mempunyai kesan iklim bersih-sifar.

Sejak mengumumkan matlamat ini tahun dua tahun lalu, syarikat itu bukan sahaja meningkatkan secara mendadak bilangan pembekalnya yang beralih kepada tenaga boleh diperbaharui, tetapi juga mengembangkan jumlah bahan kitar semula dalam produknya dan menubuhkan projek baharu yang memfokuskan kepada keadilan alam sekitar.

Secara keseluruhan, Apple sudah mengurangkan pelepasan karbonnya sebanyak 40 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.

Inisiatif mesra alam itu bertujuan untuk memberikan peralihan segmen perniagaan yang lebih mesra hijau, sekali gus mengurangkan kesan pemanasan global yang dihadapi dunia pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 7:00 AM