DR MOHD SHUKRY
DR MOHD SHUKRY
Muhammad Saufi Hassan


KEMAJUAN teknologi pada hari ini banyak mengubah landskap pendidikan secara keseluruhannya terutama bagi pendidikan pengajian tinggi.

Arus teknologi memungkinkan universiti mempunyai makmal bertaraf industri dalam menghasilkan inovasi baharu, sekali gus dapat mempertingkatkan secara signifikan kebolehpasaran graduan.

Jika dibandingkan dengan sedekad lalu, teknologi pada hari ini adalah jauh berbeza, malah tidak lama lagi apabila sistem telekomunikasi generasi kelima atau '5G' beroperasi secara meluas, ia akan memberi kesan langsung kepada industri.

Selain itu, cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) juga tidak boleh dipandang remeh terutama bagi pelajar dan memerlukan mereka bersedia dalam segenap aspek serta tidak hanya bergantung kepada kemahiran tertentu saja sebaliknya semua elemen penting.

Keberadaan industri di dalam kampus ini juga meningkatkan kemahiran graduan memandangkan mereka tidak hanya bergantung kepada teori atau pengalaman ketika sesi praktikal semata-mata sebaliknya ia adalah pembelajaran berterusan menerusi gandingan teori serta praktikal.

Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid berkata, atas dasar itu Makmal Pemesinan Termaju di bawah seliaan FTKM, UniMAP ditubuhkan pada Februari tahun lalu yang menyediakan perkhidmatan makmal dalam bidang Reka Bentuk Produk, Prototaip, Ujilari dan Pengeluaran Produk.

"Makmal berkonsepkan 'Pusat Mesin Termaju' dengan permesinan yang canggih ini mempunyai beberapa mesin yang berteraskan industri.

MAKMAL bertaraf industri di universiti bantu mempertingkatkan kebolehpasaran graduan.
MAKMAL bertaraf industri di universiti bantu mempertingkatkan kebolehpasaran graduan.

"Ia seperti CNC Milling dan CNC Turning pelbagai paksi, mesin EDM Wire Cut, mesin EDM Die Sinking, 3D Scanner, 3D Printer Polyjet. Selain itu, terdapat makmal komputer yang mempunyai perisian reka bentuk seperti CATIA untuk kegunaan mereka bentuk serta latihan.

"Aplikasi perisian dan pemesinan ini antara yang termaju dan dapat mencapai ketepatan pemesinan sehingga 20 micron, malah ia mampu menghasilkan produk yang rumit daripada keluli yang tidak mampu dihasilkan oleh pemesinan biasa," katanya.

Beliau berkata, Makmal Pemesinan Termaju ini diselenggara dengan baik di mana semua peralatan adalah mengikut piawaian industri selain fakulti ini menyediakan modul proses penghasilan produk bermula daripada reka bentuk, prototaip, acuan suntikan dan analisis kejuruteraan.

Menurutnya, selaras dengan aspirasi Jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang berasaskan praktikal.

Langkah yang dilaksanakan oleh FTKM, UniMAP itu adalah salah satu contoh yang boleh digunakan oleh institusi pengajian tinggi dalam mempersiapkan pelajar mendepani cabaran terutama ketika era teknologi maju pada hari ini.

PENGENDALIAN berasaskan sistem automasi menjadi masa depan industri.
PENGENDALIAN berasaskan sistem automasi menjadi masa depan industri.

Kemajuan teknologi pada hari ini juga bersifat berubah-ubah, malah berlaku dengan begitu pantas terutama membabitkan segmen industri dan banyak segmen akan terarah kepada automasi mesin pada masa depan.

Automasi dalam industri berkenaan bukan lagi satu teori baharu, malah ia bakal menjadi realiti industri pada masa depan untuk membantu tenaga kerja manusia secara menyeluruh.

PERUBAHAN teknologi pada hari ini memerlukan pelajar sentiasa dalam keadaan bersedia dalam segenap aspek.
PERUBAHAN teknologi pada hari ini memerlukan pelajar sentiasa dalam keadaan bersedia dalam segenap aspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:10 AM