SISTEM operasi iOS 15 memberi kemudahan kepada pengguna untuk melakukan sebarang tetapan yang dikehendaki.
SISTEM operasi iOS 15 memberi kemudahan kepada pengguna untuk melakukan sebarang tetapan yang dikehendaki.
Muhammad Saufi Hassan


PENGGUNA peranti pintar keluaran Apple iaitu iPhone sudah boleh menaik taraf sistem operasi iOS versi 15 bermula minggu lalu.

Menerusi versi baharu itu, Apple memperkenalkan beberapa ciri baharu mesra pengguna untuk iOS 15 mereka dan pastinya ia memberi manfaat kepada semua pengguna.

Untuk itu, #ITMetro akan menyenaraikan beberapa perkara yang boleh pengguna lakukan menerusi iOS 15 berkenaan.

Sistem operasi versi baharu berkenaan menawarkan pelbagai ciri baharu untuk kegunaan pengguna secara keseluruhannya.

Apple sememangnya terkenal sebagai sebuah syarikat teknologi yang sering menggunakan pendekatan mesra pengguna untuk peranti mereka.

SISTEM operasi Apple versi baharu tawar pengguna iPhone teroka lebih banyak kefungsian.
SISTEM operasi Apple versi baharu tawar pengguna iPhone teroka lebih banyak kefungsian.

SharePlay

Kefungsian SharePlay membolehkan pengguna memanfaatkan perhubungan FaceTime sambil menonton rancangan televisyen kegemaran bersama rakan dengan fungsi SharePlay.

Ia sekali gus memberikan pengalaman baharu kepada pengguna apabila boleh melakukan SharePlay secara bersama dengan rakan ataupun kenalan.

FaceTime

Pengguna iOS 15 juga boleh menghantar jemputan untuk pautan FaceTime kepada sesiapa saja walaupun mereka menggunakan Windows atau sistem operasi Android dan fungsi berkenaan masih bersifat panggilan terkod.

Pendekatan baharu ini membolehkan kefungsian berkenaan dinikmati dengan pengguna menerusi ekosistem yang lebih luas dan masih memastikan keselamatan perhubungan berkenaan pada tahap tertinggi.

Focus

Menerusi kefungsian berkenaan, pengguna boleh menetapkan 'fokus' utama peranti iaitu untuk mod 'Tidak Diganggu', 'Tidur' atau 'Personal'.

Ia memberi kebebasan kepada pengguna untuk menetapkan fokus yang dirasakan sesuai dan tidak hanya beberapa pilihan yang diberikan.

Malah, pengguna juga boleh mengubah tetapan berkenaan berhubung aplikasi mana yang dibenarkan untuk menghantar notifikasi dan sebagainya.

'Memori'

Sistem operasi versi iOS 15 ini turut menampilkan kaedah baharu yang lebih interaktif untuk melihat memori, malah pengguna boleh melaksanakan pengubahsuaian dengan tetapan lagu berdasarkan senarai Apple Music.

Keutamaan Privasi

Apple terkenal mengutamakan ciri privasi untuk pengguna dan menerusi iOS 15 ini, mereka melaksanakan penambahan ciri berkenaan.

Pengguna boleh memilih untuk menutup alamat protokol Internet atau 'IP Address' termasuk lokasi untuk perlindungan privasi e-mel.

Ia membantu pengguna untuk menghindarkan penghantar melihat butiran berkenaan.

Tab Safari

Pengguna pelayar Safari kita boleh melakukan penyeragaman antara peranti dan setiap maklumat yang disimpan oleh Safari boleh diakses untuk semua peranti pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:05 AM