APPLE  AirTag bukan saja penjejak pintar malah mampu memberikan tunjuk arah terhadap peranti yang diletakkan bersama.
APPLE AirTag bukan saja penjejak pintar malah mampu memberikan tunjuk arah terhadap peranti yang diletakkan bersama.
Muhammad Saufi Hassan


SELALU terlupa meletakkan kunci, lalai untuk merekod gambar bagi nombor ruang letak kenderaan sehingga kepada penjejak bagasi.

Semua masalah itu boleh diselesaikan jika pengguna memilih satu peranti kecil tapi amat berkuasa untuk melakukan penjejakan iaitu Apple AirTag yang bukan saja boleh memberi maklumat berhubung peta lokasi, malah menunjukkan arah serta jarak pengguna dengan barang atau perkakas yang hilang.

Pada peringkat awal, penulis juga agak skeptikal dengan peranti penjejak seumpama ini kerana lazimnya, maklumat asas adalah peta lokasi saja bagaimana jika lokasi berkenaan adalah bangunan bertingkat.

Pastinya, peranti penjejak biasa sukar untuk memberi rekod altitud atau arah barangan berkenaan kerana ia hanya merekodkan berasaskan kepada maklumat sistem pengesanan global (GPS) saja.

Namun, semua persepsi itu hilang tatkala penulis menggunakan Apple AirTag ini kerana ia adalah peranti paling pintar pernah dihasilkan.

Bukan saja maklumat berkaitan peta lokasi, malah Apple AirTag ini juga memberi maklumat berhubung arah panduan barangan berkenaan dan jarak pengguna dengan AirTag berkenaan.

Pintar bukan! Hanya membuka aplikasi di peranti pintar, penulis boleh melakukan carian dengan kadar persis lokasi 99.9 peratus bersama-sama dengan bantuan pandu arah serta jangkaan jarak pengguna dengan barang yang hilang.

Untuk memberi gambaran yang lebih komprehensif, jika ada pengguna di luar sana hanya mengatakan ia adalah peranti penjejak biasa, itu adalah kesalahan terbesar pengguna kerana Apple AirTag ini bukan saja menjejak malah memberi maklumat terperinci berhubung di mana lokasi sebenar barang yang hilang itu.

Cuba bayangkan, kunci kereta yang sudah diletakkan Apple AirTag serta padanan penyeragaman sudah dibuat menerusi aplikasi di iPhone pengguna.

Kunci kereta berkenaan terjatuh di celahan sofa, tatkala penulis ingin mencarinya, hanya membuka aplikasi berkenaan dan arah panduan akan diberikan termasuk maklumat jangkaan jarak.

Paling menarik adalah penulis melaksanakan beberapa eksperimen seperti meletakkan kunci di tingkat atas dan memulakan carian di tingkat bawah, hasilnya amat positif apabila maklumat di paparan memberitahu bahawa jarak penulis dengan peranti.

Peranti Apple AirTag ini bukan saja alat penjejak malah ia memberi maklumat yang sangat komprehensif sekali gus memudahkan pengguna untuk melakukan carian.

Bateri Apple AirTag ini juga mampu bertahan lebih setahun termasuk rekaan yang nipis tidak memberi banyak masalah kepada pengguna.

Padanan teknologi termaju yang digunakan Apple menerusi AirTag ini sangat membantu kehidupan pengguna hari ini dan pastinya ia memudahkan urusan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:45 AM