GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Kumpulan Kerja Industri (IWG) akan ditubuhkan bagi memuktamadkan butiran lanjut pelaksanaan Kemudahalihan Nombor Talian Tetap (FNP) di Malaysia, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

FNP merujuk kepada keupayaan pelanggan perkhidmatan talian tetap untuk mengekalkan nombor sedia ada sama ada beralih lokasi atau penyedia perkhidmatan yang lain.

SKMM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ia melihat keperluan untuk membenarkan IWG menetapkan garis masa pelaksanaan FNP yang bersesuaian bagi membolehkan pengguna menikmati FNP secepat mungkin.

Ia susulan penerbitan laporan rundingan awam berhubung pelaksanaan FNP di Malaysia setebal 59 muka surat yang dikeluarkan pada 16 Julai yang antara lain merumuskan hasil rundingan dan keputusan SKMM berdasarkan maklum balas yang diterima.

Laporan berkenaan terbahagi kepada lima bahagian iaitu penanda aras antarabangsa, aspek teknikal FNP, kos pelaksanaan FNP, aspek prosedur FNP dan langkah seterusnya.

Menurut SKMM, sesi rundingan awam berkenaan membolehkan pihaknya merangka langkah seterusnya berhubung FNP dan dasar penomboran tetap di Malaysia.

"SKMM menjangkakan pelaksanaan FNP akan mewujudkan pasaran perkhidmatan talian tetap yang lebih berdaya saing bagi penyedia perkhidmatan untuk melabur dan meluaskan rangkaian perkhidmatan tetap serta memberi perkhidmatan yang lebih baik," katanya.

Laporan penuh berhubung FNP boleh didapati di pautan https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/PublicConsultation-R....

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 1:17 PM